Pindaan akta wujudkan kesatuan sekerja matang, progresif - Saravanan

Bernama
Oktober 4, 2022 11:47 MYT
Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan menjawab soalan pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan mewujudkan kerangka perundangan bagi menyokong penubuhan dan pentadbiran kesatuan sekerja secara matang, progresif dan relevan, dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata rang undang-undang itu bertujuan meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dengan objektif meniadakan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja berdasarkan penubuhan tertentu atau persamaan dalam tred, pekerjaan atau industri bagi membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja.
"Perkara ini selaras dengan kebebasan berpersatuan kerana pekerja dan majikan bebas untuk menubuhkan atau menyertai mana-mana kesatuan sekerja pilihan mereka sendiri," katanya ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan.
Saravanan berkata pindaan akta itu juga bagi memastikan kualiti perlindungan hak pekerja di negara ini dengan mengambil kira prinsip digariskan di bawah standard perburuhan antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata pindaan itu juga bagi memudah cara Malaysia dalam merundingkan perjanjian perdagangan yang ketika ini telah memasukkan artikel berhubung obligasi standard perburuhan antarabangsa sebagai satu daripada terma perjanjian.
"Sebagai contoh, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) memperuntukkan supaya setiap negara anggota menerima pakai dan menambah baik undang-undang, peraturan-peraturan dan amalan masing-masing berhubung dengan hak-hak yang terkandung dalam Deklarasi ILO 1998 (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) berkaitan Fundamental Principles and Right at Work," katanya.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
#Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja #pindaan akta #kesatuan sekerja matang #Dewan Rakyat #Kementerian Sumber Manusia #M Saravanan #akta kesatuan sekerja 1959