Pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera akan pacu transformasi LTAT
Bernama
Januari 17, 2022 04:00 MYT
Januari 17, 2022 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan ke atas Akta Tabung Angkatan Tentera (TAT) akan memacu transformasi dan memperkukuh tadbir urus Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dalam kenyataan pada Isnin, LTAT menjelaskan langkah itu juga akan menambah baik kerangka pelaburan mengikut pelan Perumpukan Aset Strategik (SAA).
"Kerangka ini akan menjamin pulangan yang mampan dan kompetitif kepada pencarumnya, yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," menurut LTAT.
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata sejak Jun 2021, LTAT telah memainkan peranan aktif dalam menerajui sesi libat urus bersama pihak berkepentingannya agar transformasi LTAT diselaraskan dengan teras Pelan Tindakan 2022 (PT22) Kementerian Pertahanan.
"Sinergi bersama Kementerian Pertahanan ini amat penting agar transformasi LTAT dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengukuhkan perlindungan sosial serta menjamin kelangsungan hidup masa hadapan anggota tentera," katanya.
Terdahulu hari ini, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata cadangan dasar pindaan Akta TAT telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lepas dan Kabinet telah memberi kelulusan secara prinsip serta perkara itu akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini.
Menurut LTAT, antara inisiatif penambahbaikan Akta TAT yang akan memberi manfaat kepada pencarumnya adalah pindaan di bawah Seksyen 12 yang akan membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka setelah bersara, dengan baki yang masih tersimpan dalam LTAT layak menerima dividen.
"Selain itu, pindaan di bawah Seksyen 15 pula akan memastikan pelaburan yang dijalankan LTAT adalah berdasarkan kerangka SAA serta polisi pelaburan bagi memberi pulangan dividen yang lebih kompetitif dan mampan kepada pencarum," jelasnya.
LTAT menambah, ia juga membawa kepada mewujudkan peruntukan seksyen baharu bagi mendapatkan jaminan kerajaan ke atas simpanan persaraan pencarum LTAT.
-- BERNAMA