'Pindaan Akta Rahsia Rasmi menangani keganasan persepsi' - Irmohizam
Astro Awani
Februari 9, 2016 19:41 MYT
Februari 9, 2016 19:41 MYT
SAYA tidak faham mengapa pihak tertentu khususnya pembangkang terus-terusan menentang syor Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kerana mencadangkan dibuat pindaan ke atas Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas pembocor rahsia rasmi negara.
Hampir kesemua pengkritik yang lantang bersuara ini menyifatkan cadangan Peguam Negara ini sebagai satu usaha untuk menutup sebarang salah laku pemimpin kerajaan dari diketahui oleh rakyat walaupun saya dan ramai lagi yakin bahawa beliau tidak sesekali mempunyai niat begitu.
Pertama sekali, seperti yang disebut oleh Peguam Negara sendiri, hak untuk "mendapat, menerima dan mendedahkan maklumat" ("seek, receive and impart information") sebagaimana yang tertera dalam Perkara 18 Perisytiharan Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia (Universal Declaration of Human Rights) tidak diterima pakai dan dilindungi di Malaysia, sebab itulah sehingga kini kita tiada Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) walaupun penyebaran maklumat dari pihak kerajaan itu sendiri sentiasa ada dari masa ke semasa setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.
Seterusnya, Akta Rahsia Rasmi 1972 adalah satu akta yang diwujudkan khusus bagi mengelakkan kebocoran rahsia rasmi yang "memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara" dan frasa ini ditegaskan berkali-kali di dalam akta ini, bukannya rahsia rasmi yang memudaratkan keselamatan atau kepentingan mana-mana pemimpin kerajaan, jadi tindakan mengaitkan cadangan pengenaan hukuman lebih berat ke atas pembocor rahsia rasmi negara dengan usaha melindungi salah laku pemimpin kerajaan adalah satu tindakan yang benar-benar prejudis, premature dan tidak bertanggungjawab.
Kita dapat melihat sendiri baru-baru ini bagaimana tindakan pihak tertentu membocorkan rahsia rasmi negara sehubungan dengan surat-surat Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mengenai kedudukan kewangan LTH telah mendatangkan kepanikan dan keributan di kalangan para pencarum LTH dan umat Islam kononnya diselewengkan.
Apa yang sekadar menjadi nasihat dalaman mengenai paras rizab LTH telah diwarwarkan sebegitu rupa sehingga mendorong ramai pencarum percaya bahawa mereka tidak akan mendapat dividen dan bonus pada tahun ini di samping menyebabkan timbulnya keraguan bahawa keberkesanan LTH membantu umat Islam menunaikan ibadah haji mungkin terjejas, walhal semua perkara ini kemudiannya terbukti tidak benar.
Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun adalah pembocoran rahsia rasmi negara sebegini mempunyai potensi yang sangat besar untuk memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara, lebih-lebih lagi di dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti negara kita yang keharmoniannya cukup mudah dikocak.
Apatah lagi sejak akhir-akhir ini apabila terlalu banyak berlaku pembocoran rahsia rasmi negara yang hampir semuanya boleh mendatangkan ketidakstabilan kepada situasi politik, ekonomi dan sosial semasa negara. Maka amat bertepatan cadangan hukuman lebih berat ini dikenakan ke atas pembocornya bagi mengelakkan negara dari berdepan dengan huru-hara.
Tambahan pula, cadangan hukuman penjara seumur hidup kepada pembocor rahsia rasmi negara ini sebenarnya bukanlah suatu cadangan yang pelik atau drastik. Ini kerana Seksyen 3 Akta Rahsia Rasmi 1972 telah sedia memperuntukkan hukuman ini kepada pengintip rahsia rasmi negara, dan cadangan baru ini adalah untuk diperluaskan kepada penyampai dan penerima rahsia rasmi negara yang selama ini hanya berdepan dengan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun tetapi tidak melebihi tujuh tahun sahaja.
Adalah tidak wajar cadangan murni Peguam Negara ini boleh diputarbelitkan sebegitu rupa sehingga menampakkan seolah-olah beliau mencadangkannya bagi tujuan untuk melindungi salah laku pemimpin negara. Pada hemat saya ini mungkin satu cubaan pembunuhan karakter ke atas beliau dengan alasan yang pihak-pihak tersebut lebih arif undang2.
Saya percaya cadangan ini tidak sekali-kali akan membawa negara ke arah kerosakan, apatah lagi untuk menyebabkan Malaysia menjadi "a totalitarian state" seperti dakwaan semberono jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, atau menjadi "a complete dictatorship" seperti dakwaan tidak berasas bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.
Untuk kes salah laku pemimpin, kita sudah sedia mempunyai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang melalui Seksyen 7 memberi perlindungan kepada sesiapa sahaja yang membuat pendedahan bahawa mana-mana orang telah melibatkan diri, sedang melibatkan diri atau bersedia untuk melibatkan diri dalam kelakuan tidak wajar, dengan syarat bahawa pendedahan sedemikian tidak dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Saya yakin dengan kepakaran dan pengalaman Peguam Negara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan sebelumnya sebagai peguam untuk satu tempoh yang panjang akan membolehkan pindaan ke atas Akta Rahsia Rasmi 1972 ini dibuat di dalam cara yang paling baik dan paling menyeluruh bagi memastikan ia bukan sahaja dapat menjaga keselamatan dan kepentingan negara tetapi juga kepentingan dan kebajikan rakyat seluruhnya.
Mengulangi kata-kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhentilah dari mempolitikkan cadangan ini. Ia masih bertaraf cadangan sahaja, dan jika ia dilaksanakan sekalipun, kita tahu bahawa Jabatan Peguam Negara adalah sebuah jabatan yang bebas dan berwibawa, sudah tentu para penerajunya tahu apa yang mereka lakukan, tidak lain tidak bukan untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat semata-mata.
* Datuk Irmohizam Ibrahim merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.