Pindaan Akta Perubatan 1971 tidak jejas peranan MQA - Dzulkefly

Bernama
Julai 30, 2024 08:30 MYT
Dzulkefly menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa peranan Agensi Kelayakan Malaysia disisihkan menerusi pindaan Akta Perubatan 1971. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peranan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak akan tergendala selepas pindaan Akta Perubatan 1971 dilaksanakan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad.
Beliau berkata agensi itu akan terus menjadi badan akreditasi kepada program sarjana perubatan yang menilai permohonan daripada universiti.
"MQA akan terus menjadi badan akreditasi bagi program-program sarjana perubatan kerana itu adalah dalam bidang tugasnya yang akhirnya akan menyaksikan program itu tersenarai dalam Daftar Kelayakan Malaysia untuk diberi kelulusan.
"Tetapi Akta MQA sendiri yang meletakkan program profesional (termasuk program Parallel Pathway) tidak tertakluk kepada akreditasi MQA ," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, semalam.
Dzulkefly berkata demikian bagi menangkis dakwaan bahawa peranan MQA disisihkan menerusi pindaan akta tersebut.
Rang undang-undang yang antara lain bertujuan memberikan kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar itu, diluluskan dengan lebih suara bersetuju setelah dibahaskan 14 Senator.
Berhubung isu permohonan pengamal pergigian yang ditolak kerana tidak memenuhi syarat di bawah Akta Pergigian 2018, beliau berkata tiga permohonan yang pernah berdaftar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) sedang dalam rayuan.
"Dalam mesyuarat MPM ke-14 di bawah Akta Pergigian 2018 pada pagi ini, MPM telah bersetuju untuk membenarkan rayuan daripada pengamal pergigian yang berdaftar dengan NSR boleh diluluskan untuk mendaftar, berdasarkan skop amalan yang akan ditentukan oleh MPM selewat-lewatnya akhir September ini," katanya
Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan bahawa jawatan ketua pegawai eksekutif MPM akan diiklankan dalam waktu terdekat.
Pada sidang media selepas itu, beliau berkata peraturan berkaitan pindaan akta tersebut akan dikuatkuasakan pada institusi yang disenaraikan, dijangka dalam tempoh dua bulan.
"Kita akan pastikan bahawa kita tidak akan mengorbankan kualiti (program) bahkan akan memastikan ia menjadi lebih mantap," katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang menjayakan pindaan akta tersebut.
Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini.
- BERNAMA
#MQA #akreditasi #akta perubatan #Dzulkelfy Ahmad
;