Pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga dibentang esok

Bernama
April 2, 2017 16:27 MYT
Keganasan rumah tangga pada masa ini bukan sahaja melibatkan isteri yang dikasari, malah ia boleh berlaku kepada suami, ibu dan bapa mertua serta ipar.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membentangkan pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Pindaan 2012) untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat, esok.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pindaan akta itu bertujuan memberi keadilan menyeluruh kepada anggota keluarga yang mengalami penderaan bukan hanya secara fizikal, tetapi emosi dan psikososial.
"Contohnya, isu seperti mencuri kad pencen, isu melibatkan harta dan juga melafazkan cerai melalui aplikasi WhatsApp," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Emosi 'Bridge To A Better Life' di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini, hari ini.
Rohani berkata keganasan rumah tangga pada masa ini bukan sahaja melibatkan isteri yang dikasari, malah ia boleh berlaku kepada suami, ibu dan bapa mertua serta ipar.
Terdahulu, Rohani meluangkan masa mengunjungi reruai Laman Wanita (LaWa) di perkarangan tempat letak kereta Matic, iaitu gerai jualan oleh usahawan-usahawan wanita yang diperkenalkan sejak awal Mac lepas.
Reruai LaWa terdiri daripada perkhidmatan mengurut kaki, menjual produk makanan dan kraftangan dibuka setiap hari minggu.
-- BERNAMA
#Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 #keganasan rumah tangga #Malaysia #Parlimen #penderaan #perundangan #pindaan #Rohani Abdul Karim
;