Pindaan Akta Kanak-kanak perlu diwarta secepat mungkin - Azizah

Dania Zainuddin
Jun 10, 2016 07:23 MYT
AZIZAH: Kami sentiasa berhubung dengan pejabat Peguam Negara mengenai isu ini dan bercadang akta ini dikuatkuasakan secepat mungkin. -Gambar fail
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa pindaan yang dicadangkan terhadap Akta Kanak-Kanak diwartakan secepat mungkin, kata Timbalan Menterinya Datuk Azizah Mohd Dun.
Cadangan pindaan yang melibatkan lebih 70 peratus penggubalan akta itu termasuk peruntukan bagi daftar pesalah seks yang dijangka siap awal tahun depan.
Katanya, pihaknya sentiasa berhubung dengan pejabat Peguam Negara mengenai isu ini dan bercadang akta ini dikuatkuasakan secepat mungkin.
"Badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, tadika, juga pihak masjid dan gereja, mana-mana organisasi yang mengambil sukarelawan untuk membantu golongan miskin ataupun kanak-kanak perlu berhati-hati.
"Ini mungkin adalah 'wake-up call' kepada semua," kata Azizah selepas Sambutan Ulangtahun ke 50 Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, pada Jumaat.
"Kami sentiasa berusaha untuk mempercepatkan proses ini. Kami mahu pindaan akta ini diluluskan di Parlimen dan sekarang kami mahu digazet secepat mungkin supaya ia boleh dikuatkuasakan," katanya lagi.
Menurut Azizah, peruntukan daftar pesalah seks ini akan melibatkan semua penjenayah seks ke atas kanak-kanak di dalam dan luar negara.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menetapkan mekanisme bagi penguatkuasaan undang-undang yang telah dikemaskini disiapkan menjelang awal 2017.
Satu pasukan petugas telah ditugaskan dalam menyelaras dan memastikan pelaksanaan perubahan akta kepada semua agensi yang terlibat.
Susulan kes pedofilia yang menggemparkan Malaysia, pihak kementerian bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang merangka dan menggubal Prosedur Operasi Standard (SOP) baru dengan mewujudkan kursus yang menepati keperluan semasa bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu ini.
#azizah mohd dun #Keluarga dan Masyarakat #Kementerian Pembangunan Wanita #pindaan Akta Kanak-Kanak
;