Pindaan akta Finas turut ambil kira aspek standard kontrak penggiat seni - Fahmi
Bernama
April 5, 2024 14:30 MYT
April 5, 2024 14:30 MYT
PUCHONG: Cadangan Kementerian Komunikasi untuk meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 akan turut mengambil kira aspek standard kontrak yang ditawarkan kepada penggiat seni.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu perlu ditambah baik dalam Akta Finas untuk memastikan aspek keselamatan sosial bagi pekerja industri kreatif di negara ini tidak diketepikan.
"Di sini saya nampak ada keperluan untuk Finas memastikan pematuhan standard kontrak yang terkandung dalam klausa mengenai caruman KWSP atau Perkeso, namun dalam masa sama perlu ada satu mekanisme aduan sekiranya mana-mana pihak berjanji untuk buat caruman itu, tetapi culas atas sebarang sebab.
"Di sini saya lihat ia tak patut berlaku...jadi kita sedang dalam proses untuk buat pindaan kepada Akta Finas dan kita berhasrat untuk memasukkan beberapa pindaan termasuk mengenai aspek standard kontrak ini dalam pindaan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi pengarah dan pelakon M Jamil atau nama sebenarnya Mohamad Jamil Zulkifli di Taman Puchong Utama dekat sini sempena Program Ziarah Seni MADANI Finas 2024.
Fahmi berkata sementara menunggu proses pindaan akta berkenaan yang dijangka mengambil masa sehingga setahun, beliau meminta Pengerusi Finas Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memastikan kontrak sedia ada ketika ini ditambah baik.
"Harapan saya melalui siri ziarah ini, kita dapat maklumat tambahan untuk kita teliti kerangka saya sebutkan tadi supaya ia lebih membantu dan menjamin keselamatan sosial bagi industri perfileman," katanya.
-- BERNAMA