Pindaan Akta Fiinas 1981, kebajikan pekerja perfileman keutamaan KKD - Fahmi

Bernama
Mei 29, 2023 06:30 MYT
Fahmi Fadzil ketika sesi town hall bersama pemegang taruh agensi-agensi dibawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD). - Foto Facebook/Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 dan isu kebajikan pekerja dalam bidang perfileman menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada masa ini.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata pindaan Akta Finas 1981 masih dalam penelitian pihak KKD sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.
"Ini (pindaan) sedang dalam penelitian KKD sebelum dibawa kepada saya dan kemudiannya akan dibawa ke Jemaah Menteri... saya jangka tidak terlalu lama dari sekarang dan kita akan masukkan dalam giliran untuk dibawa ke Parlimen," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat umum Industri Kreatif (Industri Filem) di sini malam tadi.
Mengenai penjualan filem cetak rompak di platform e-dagang, Fahmi berkata perkara itu akan dirujuk kepada platform yang terlibat untuk tindakan lanjut.
"Saya dapat aduan secara lisan daripada penerbit atau pembikin filem yang mendakwa filem mereka dicetak rompak dan dijual pada kadar yang sangat rendah di beberapa platform e-dagang.
"Pada Selasa saya akan hubungi platform tersebut untuk dapatkan kepastian dan jika ya ini berlaku saya akan minta pihak tersebut ambil tindakan serta merta dan jika tidak kita akan lihat peruntukan undang-undang sedia ada untuk tindakan susulan," katanya.
Pada sesi yang berlangsung lebih tiga jam itu, antara perkara yang dibangkitkan dalam kalangan pemain industri berkaitan cukai hiburan, Dana Kandungan Digital, pindaan Akta Finas 1981, gaji minimum pekerja perfileman dan Skim Wajib Tayang.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya berkata kementerian ketika ini sedang meneliti perkara yang boleh dilakukan untuk meminda Akta Finas 1981.
Beliau juga berkata Finas juga telah diminta untuk melihat semula Skim Wajib Tayang dalam usaha menambah baik skim itu sekali gus bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
#FINAS #Fahmi Fadzil #kebajikan pekerja perfileman #KKD
;