Pindaan Akta Antilompat Parti perlu dikaji secara teliti, dipersetujui secara dwipartisan - Azalina

Bernama
Julai 15, 2024 17:46 MYT
Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu, sepertimana dinyatakan Perdana Menteri Jumaat lepas. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang tiada masalah dan bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu, sepertimana dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas.
"Sekarang kerajaan bersetuju nak tengok (pindaan) itu. Terpulanglah...tak ada masalah, kalau perdana menteri arah saya dalam mesyuarat kabinet untuk membawa nota dari segi dasar baharu pun tak ada masalah, saya bersedia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Anwar pada Jumaat lepas berkata kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membaiki kelompangan yang wujud dalam akta berkenaan.
Pada 20 Jun lepas, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.
Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.
Bagaimanapun, Johari pada 11 Julai menegaskan keputusan berhubung status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan adalah kekal, menyebabkan pihak pembangkang keluar Dewan beramai-ramai kerana tidak berpuas hati.
Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
-- BERNAMA
#pindaan akta #Antilompat parti #Azalina Othman Said #dwipartisan
;