Pindaan Akta 728 mampu luaskan bidang kuasa Maqis
Bernama
Mac 7, 2021 22:14 MYT
Mac 7, 2021 22:14 MYT
PASIR MAS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yakin pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) mampu memperluas bidang kuasa jabatan itu.
Ketua Pengarahnya Saiful Yazan Alwi berkata setakat ini, perkara itu sudah di peringkat akhir penelitian oleh pihak Jabatan Peguam Negara sebelum dibawa ke Parlimen untuk proses kelulusan.
Beliau berkata jika pindaan itu diluluskan, pihaknya yakin ia mampu memperluas dan mengukuhkan bidang penguatkuasaan mereka.
"Setakat ini, bidang kuasa Maqis hanya di pintu masuk, stesen serta premis kuarantin. Namun jika akta berkenaan dipinda, bidang kuasanya dapat diperluaskan di seluruh negara tidak termasuk Sabah dan Sarawak yang memilih Ordinan mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata melalui pindaan itu juga, Maqis dapat bergerak sendiri termasuk membuat penahanan dan pertuduhan kerana sebelum ini, jabatan tersebut bergantung kepada kerjasama agensi lain seperti polis, Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Kita yakin sekiranya pindaan akta itu diluluskan, maka tugasan serta bidang kuasa Maqis akan lebih luas termasuk membolehkan serbuan dan pemeriksaan dilakukan di gudang atau premis yang disyaki (melakukan kegiatan penyeludupan)," katanya kepada pemberita di Kompleks Maqis Rantau Panjang hari ini.
Mengulas lanjut, Saiful Yazan berkata Maqis juga merancang menambah kekuatan dari segi keanggotaan dalam masa terdekat bagi memastikan penguatkuasaan jabatan itu lebih berkesan.
Beliau berkata buat masa ini, Maqis mempunyai 545 anggota di seluruh negara dan jumlah itu tidak mencukupi bagi melaksanakan tugasan.
Katanya Maqis juga sudah memperoleh kelulusan bagi 56 senjata api untuk digunakan anggota jabatan itu dalam tugas penguatkuasaan khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.
-- BERNAMA
#Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia
#Saiful Yazan Alwi
#maqis
#Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011
#Akta 728
#pindaan akta