Pindaan Akta 655 mampu kekang masalah pencemaran air - MB Selangor
Hasimi Muhamad
Februari 16, 2023 12:59 MYT
Februari 16, 2023 12:59 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor yakin pindaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dapat mengekang aktiviti pencemaran air yang berlaku di seluruh negara termasuk negeri itu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pindaan berkenaan mampu memastikan kelestarian sumber bekalan air dan air mentah berada dalam keadaan baik dan terurus.
"Dengan meningkatkan jumlah denda pada satu angka yang lebih tinggi sehingga RM10 juta, ia akan memberikan tekanan dan rasa takut kepada pencipta-pencipta masalah tersebut.
"Bagi pihak kerajaan negeri, pada November 2020 kita telah meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang turut meningkatkan denda iaitu minimum RM200,000 dan maksimum sebanyak RM1 juta.
"Akta yang dikemukakan ini juga merupakan satu tambahan yang boleh dikenakan selain panel kod daripada beberapa pengalaman (pencemaran air) yang kita telah alami.
"Jadi insya-Allah ia akan mengukuhkan lagi usaha-usaha membanteras dan pelaporan daripada pihak awam dan tindakan berkesan dalam mengawal sumber air mentah," katanya dalam sidang media di Parlimen, di sini, pada Khamis.
Pada November 2020, Dewan Negeri Selangor meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 dengan meminda beberapa seksyen dan memasukkan beberapa seksyen baharu ke dalam enakmen sedia ada.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata sejak enakmen tersebut dipinda, insiden pencemaran air di Selangor menunjukkan pengurangan, dengan hanya dua insiden dikesan pada 2022 berbanding lapan atau sembilan insiden pada 2020.
"Sebahagian (insiden pencemaran) bermula dari kilang dan pusat pembersihan jentera berat di Selangor.
"Untuk rekod sehingga tahun 2022, tidak ada insiden pencemaran dan dari 2021 hingga 2022, pada pandangan saya juga tidak ada insiden pencemaran di Sungai Selangor.
"Hanya insiden terbaharu adalah insiden melibatkan Selangor yang memberi kesan kepada 1.2 juta akuan.
"Alhamdulillah, saya nampak ada kesan (positif) cuma tindakan undang-undang bukan satu-satunya, dan saya percaya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim turut mencadangkan proses pendidikan," katanya lagi.