Pindaan Akta 655: Hukuman denda tinggi perlu selari dengan pemantauan - Aktivis
Rachael Larimore
Februari 17, 2023 19:24 MYT
Februari 17, 2023 19:24 MYT
KUALA LUMPUR : Pelaksanaan hukuman denda yang tinggi semata-mata tidak mampu menyelesaikan isu pencemaran air yang terus berlaku.
Sebaliknya jelas aktivis alam sekitar, Amlir Ayat, perkara itu juga memerlukan pemantauan yang sewajarnya.
"Kalau kita ada hukuman denda yang tinggi pun, tetapi kalau pemantauan tidak dilaksanakan dengan baik, atau penguatkuasaan itu masih longgar, maka saya rasa ia tidak akan menyelesaikan masalah. Kita tahu banyak premis-premis atau tempat-tempat yang mencemarkan.
"Namun, kita lihat masih ada kelonggaran dari sudut pelaksanaan pemantauan dan juga penguatkuasaan. Satu perkara yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
"Salah satu perkara yang menjadi penghalang kepada pihak penguatkuasa ialah banyak industri-industri ada di negara kita khususnya di Selangor. Jadi nak memantau itu memerlukan sumber manusia yang tinggi. Ini perkara yang perlu diperhatikan," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Ujar beliau, Malaysia mempunyai undang-undang yang sudah cukup baik terhadap pesalah yang mencemarkan sumber air.
Namun, cabarannya ialah bagaimana untuk memastikan pemantauan boleh dilakukan dengan lebih cekap sama ada melalui sumber tenaga manusia, peralatan, kenderaan, mahupun industri.
"Kadang-kadang ada kesukaran untuk penguatkuasa masuk ke kilang-kilang dan kawasan industri dan memerlukan kenderaan atau alat yang canggih," ujarnya.
Pada Khamis, media melaporkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam proses meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia kini berada di peringkat semakan dan penelitian kementerian sebelum diangkat untuk kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Jelas beliau, pindaan terhadap Akta 655 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun, melibatkan tiga perkara utama terhadap aktiviti pencemaran air.
"Ia melibatkan tiga perkara utama bertujuan meningkatkan tahap hukuman dan kadar denda kepada tindakan yang berisiko pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air.
"Dalam hal ini, peningkatan melibatkan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kedua, ia melibatkan penyenaraian kesalahan-kesalahan baharu seperti apa-apa perbuatan yang menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan penutupan sistem bekalan air kepada pengguna dengan melepaskan apa-apa kumbahan, benda atau bahan.
"Ketiga membolehkan pemegang lesen dan pengguna air menuntut semula kos bagi memulihkan semula kos sistem bekalan air yang dicemari daripada pihak yang didapati bersalah.
"Ini melibatkan Seksyen 121 dan Seksyen 122 Akta 655," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.