Pindaan Akta 50 bakal selesai kemelut Parallel Pathway - Dr Dzulkefly

Firdaus Azil
Jun 5, 2024 22:56 MYT
Dr Dzulkefly berkata, pindaan itu juga bakal memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan, sekali gus membolehkan segala isu-isu berbangkit diselesaikan segera. - Gambar fail/FB Dr Dzulkefly
KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 (Akta 50) akan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran perubatan melalui laluan paralel (parallel pathway), kata Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad.
Menteri Kesihatan berkata, pindaan itu juga bakal memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan, sekali gus membolehkan segala isu-isu berbangkit diselesaikan segera.
Katanya lagi, beliau dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir telah mengemukakan cadangan pindaan itu kepada Mesyuarat Jemaah Menteri, dan telah mendapat persetujuan secara prinsip.
“Rang Undang-undang (RUU) untuk pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Salam..sprti diharapkan 1/ AlhamdulilLah, Kabinet BERSETUJU Akta 50 dipinda, bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran Pakar Perubatan di bawah 'Parallel Pathway' Draf RUU tlh siap & kini disemak AGC & akan dibentang ke Kabinet. Semua bertekad utk bentang di Parlimen SESI ini pic.twitter.com/MO8x8FjyjM

— Dzulkefly Ahmad (@DrDzul) June 5, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini media melaporkan kemelut Parallel Pathway bermula apabila wujud pertindihan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), khususnya dalam proses pengiktirafan latihan kepakaran dalam bidang pembedahan kardiotorasik.
Selain itu turut menjadi pendebatan ialah adalah isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran Parallel Pathway dalam Daftar Pakar (National Specialist Register – NSR) di bawah MMC.
Dalam pada itu Dr Dzulkefly berkata, Jemaah Menteri juga cakna akan keperluan perkhidmatan kepakaran di semua fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara.
“Laluan paralel yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan program sarjana perubatan yang dilaksanakan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan berfungsi untuk melahirkan lebih ramai pakar bagi memenuhi keperluan tersebut.
“Melalui pindaan yang akan dibuat, kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek perundangan. Dengan itu para doktor yang telah menyempurnakan mana-mana program seperti di atas akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam NSR di bawah MMC,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, KKM akan memastikan bahawa kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan, serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan ini dibuat nanti.
#Parallel Pathway #latihan kepakaran #aspek keselamatan #pegawai perubatan
;