Pindaan Akta 164 langkah penyelesaian harmoni suami isteri - Jamil Khir

Bernama
Ogos 27, 2016 16:48 MYT
Jamil Khir Baharom berkata akta tersebut akan memberi garis panduan bagi kes perkahwinan yang sudah terbubar mengikut hukum Islam
Pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) disifatkan sebagai langkah penyelesaian yang harmoni bagi pasangan suami isteri berhubung pertikaian yang wujud selepas seorang daripada mereka memeluk Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata akta tersebut akan memberi garis panduan bagi kes perkahwinan yang sudah terbubar mengikut hukum Islam namun masih terikat mengikut undang-undang sivil.
"Pindaan ini akan memberi garis panduan, penyelesaian yang harmonis kepada kedua-dua pihak. Kalau pernikahan itu tidak terbubar dalam konteks ikatan sivil, ia akan menyebabkan soal pembahagian harta sepencarian tidak boleh dibahagi, nafkah tidak boleh diputuskan dan sebagainya.
"Akta 164 bukan di Mahkamah Syariah tetapi sebagai satu penyelesaian terhadap masalah ini memandangkan dalam Islam perkahwinan itu terbubar dalam konteks hukum namun mereka masih kekal pasangan suami isteri dari segi undang-undang sivil," katanya kepada pemberita pada majlis Konvoi Merdeka dan perasmian Surau Aliza Al-Khir di Kampung Ulu Sedaka di sini pada Sabtu.
Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan Kabinet untuk membuat pindaan ke atas Akta 164 yang merupakan undang-undang keluarga bagi perkahwinan dan perceraian pasangan bukan Islam, dengan segera berpandukan tiga prinsip utama.
Jamil Khir berkata pertikaian itu berlarutan sejak sekian lama dan ia menimbulkan satu pertembungan kerana salah seorang yang memeluk Islam, berdasarkan undang-undang Inggeris yang digunakan dalam Mahkamah Sivil, tidak berhak menuntut penceraian.
"Ini menyebabkan seolah-olah berlaku pertembungan dan membawa perselisihan. Jadi Akta 164 adalah penyelesaian, bahkan perdana menteri telah menyatakan tiga garis panduan sebagai tanda aras dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata pihak berkuasa sudah pun menahan dan mengambil keterangan daripada seorang lelaki berusia 43 tahun di Kuala Lumpur yang mendakwa dirinya sebagai Nabi Isa.
"Pendakwaan akan dibuat, selebihnya kita serahkan kepada pihak berwajib. Kes mengaku sebagai Nabi Isa sudah banyak kali berlaku termasuklah sewaktu saya berada di Amerika dahulu. Ini mungkin disebabkan fenomena kecelaruan pemahaman tentang agama, hukum dan salah tafsiran Al-Quran.
"Dunia moden kini menyebabkan banyak perkara termasuklah yang tidak betul diviralkan menerusi laman sosial. Justeru saya mohon umat Islam mendapatkan pencerahan, tabayyun daripada individu bertauliah dan diyakini kemampuan ilmu, penjelasan dan maklumatnya," katanya.
#Jamil Khir Baharom #Perkahwinan dan Penceraian #Pindaan Akta 164
;