Pinda SOSMA: Jangan tunduk kepada DAP - Asyraf Wajdi
Astro Awani
November 6, 2019 19:01 MYT
November 6, 2019 19:01 MYT
Keputusan untuk meminda Undang-undang Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) langkah terburu-buru dan bersifat mala fide untuk melindungi pemimpin-pemimpin DAP dari kemungkinan ditahan lagi di bawah undang-undang berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, ia turut menimbulkan keraguan keranaia dibuat ketika kemuncak penahanan pimpinan DAP yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
“Kami menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak tunduk kepada desakan pemimpin DAP supaya SOSMA dipinda, sebaliknya biarkan sahaja mana-mana peruntukan yang dikatakan zalim itu diputuskan keabsahannya oleh hakim yang bijaksana di mahkamah.
“Ini selaras dengan pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta mantan-mantan Ketua Polis Negara seperti Tan Sri Ismail Omar dan Tan Sri Musa Hassan yang menyatakan tanpa SOSMA kita akan menghadapi masalah untuk menangani pengganas.
“Meminda SOSMA secepat mungkin akan memberi mesej salah kepada para pengganas bahawa kerajaan kini mula berlembut dengan mereka, sekali gus bagaikan memberi mereka lesen besar untuk menarik lebih ramai penyokong dan melakukan aktiviti yang lebih ganas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Pada Selasa, Dr Mahathir memaklumkan, sekiranya berkesempatan, pindaan SOSMA akan dibuat pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan adakah pindaan SOSMA itu kebetulan dengan penarikan balik pertuduhan ke atas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaran berkaitan LTTE oleh pihak Peguam Negara pada Rabu tanpa dikemukakan sebarang sebab di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Keputusan memeranjatkan
Dalam nada sama, Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, keputusan itu memeranjatkan dan berbeza dengan kes terdahulu yang melibatkan pemilikan item Daish atau ISIS dan dijatuhi hukuman penjara.
“Apa bezanya dengan kes pemilikan item LTTE? Mungkin kalau Gunasekaran memiliki item ISIS barulah pasukan pendakwaan akan meneruskan kes ini.
“Pelik apabila mereka sendiri yang merayu kepada mahkamah untuk membatalkan kes ini.
“Perkara ini memerlukan penjelasan daripada Peguam Negara sendiri. Rakyat sedang melihat dan hendak tahu apa bezanya kes yang melibatkan Daish dan LTTE.
“Jika ada pengkelasan yang baru bagi kes yang melibatkan keterlibatan dengan mana-mana kumpulan terutamanya seperti LTTE dan Daish, rakyat harus tahu dan kerajaan harus menyatakannya dengan jelas,” tegasnya.
Bastien juga mahu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersedih dan patah semangat dengan keputusan yang diambil oleh pihak pendakwaan.
“Teruskan usaha-usaha memerangi anasir keganasan bagi kesejahteraan negara,” ujarnya.
Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan sebelum ini dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober lepas, atas pertuduhan tambahan.
#ADUN
#DAP
#Dewan Rakyat
#Exco
#keganasan
#Ketua Polis Negara
#Mahathir Mohamad
#Musa Hassan
#UMNO
#undang-undang