Pinda kerakyatan beri impak kepada KDN urus rakyat lahir di luar negara
Bernama
Februari 18, 2023 13:39 MYT
Februari 18, 2023 13:39 MYT
MACHANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia mendapat kerakyatan, mampu memberi impak besar kepada pihaknya dalam menguruskan hal-hal berkaitan.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana banyak permohonan diterima pihaknya berkaitan isu kerakyatan.
"Permohonan dalam kategori ini memang ada sebab itu pindaan tersebut akan melalui proses seterusnya dan bakal beri impak besar kepada beberapa komponen yang ada di KDN," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program KDN Madani 2023 di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Terdahulu, Saifuddin Nasution dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan memaklumkan, Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat kerakyatan negara ini.
Menurut kenyataan itu Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 berkenaan dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen kali ini setelah memenuhi kehendak undang-undang.
Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara itu adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan akan menaik taraf dokumen pengenalan diri, Saifuddin Nasution berkata ciri-ciri keselamatan yang dimiliki pada dokumen tersebut sudah mencukupi dan sangat sukar untuk dipalsukan.
"Bila kita memilih satu sistem yang kita namakan MyKad (dokumen pengenalan diri) ia telah lengkap dengan semua ciri keselamatan sama ada pada komponen cip, foto, kualiti dan sebagainya.
"Buat masa ini kita tidak terima sebarang masalah atau aduan daripada rakyat kerana dokumen pengenalan diri ini memiliki 12 ciri keselamatan dan sangat sukar jika ada mana-mana pihak yang cuba memalsukannya kerana telah mengikut piawaian ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA