Pinda akta libatkan keselamatan siber, pencerobohan data
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 30, 2019 21:29 MYT
Oktober 30, 2019 21:29 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mengkaji untuk meminda beberapa akta melibatkan keselamatan siber dan pencerobohan data.
Memandang serius perkara tersebut, Menterinya, Gobind Singh Deo berkata pindaan itu perlu dilakukan seiring pelbagai cabaran dan ancaman yang mendepani pengguna ketika ini.
Jelanya, salah satu undang-undang yang dilihat perlu dipinda semula adalah Akta Perlindungan Data Perbadi 2010.
“Pada saya, apa yang kita ada sekarang adalah satu undang-undang yang boleh dikuatkuasakan.
“Namun, dalam masa yang sama, kita perlu lihat bagaimana kita boleh laksanakan pindaan-pindaan untuk kita perkukuhkan dan juga perketatkan undang-undang yang kita ada supaya ia sesuai untuk cabaran dan ancaman yang kita lalui sekarang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan kementeriannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020).
Tambah Gobind, pihaknya menjangkakan pindaan kepada beberapa akta tersebut dapat dikemukakan ke Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada Mac atau Mei tahun hadapan.
Antara kejadian melibatkan pencerobohan data dan keselematan siber termasuk muat naik data kakitangan Universiti Malaya (UM) ke atas talian serta kegagalan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
#akta
#Dewan Rakyat
#Gobind Singh Deo
#Kementerian Komunikasi dan Multimedia
#keselamatan siber
#KKMM
#pencerobohan data