Pinda akta: Cekup orang besar sindiket judi haram - Muhyiddin

Harits Asyraf Hasnan
Julai 9, 2019 17:38 MYT
MUHYIDDIN: Disebabkan oleh kerana ia atas talian dan server kadang-kadang di luar negara, kita perlu ada undang-undang tertentu. - Gambar fail
Kementerian Dalam Negeri bercadang untuk meminda beberapa akta sedia ada yang dilihat lapuk melibatkan penguatkuasaan perjudian haram terutamanya di atas talian.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan yang lebih khusus diperlukan lantaran sistem pelayan (server) judi haram atas talian kadangkala berada di luar negara.
Bagaimanapun, buat masa ini, jelas Muhyiddin pihak polis mengguna pakai Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang dilihat berjaya menurunkan kadar aktiviti judi haram kepada lima peratus.
“Isu perjudian haram ini tidak dilihat sebagai judi sahaja. Ada sindiket dan ada pihak-pihak besar di belakang mereka. Disebabkan oleh kerana ia atas talian dan ‘server’ kadang-kadang di luar negara, kita perlu ada undang-undang tertentu.
“Sementara perkara itu (pindaan Akta) kita bawa ke Parlimen pada masa akan datang, kita gunakan POCA yang memang agak berkesan apabila ada penurunan, dengan kadarnya sudah tinggal lima peratus,” katanya pada pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang bertanyakan berkenaan usaha KDN menerusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menangani isu perjudian haram terutama dalam talian.
#akta pencegahan jenayah #judi atas talian #Menteri Dalam Negeri #Muhyiddin Yassin #POCA
;