Pinda Akta 588: Perlu 'people-centric', tidak menekan kebebasan bersuara - Penganalisis
Fareez Azman
Februari 20, 2023 16:56 MYT
Februari 20, 2023 16:56 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan untuk mengkaji dan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) perlu selari dengan kebebasan bersuara di negara ini.
Menurut Penganalisis Keselamatan & Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, pindaan itu seharusnya tidak menekan dan menyalahkan pengamal media di negara ini, sebaliknya memberi penekanan mengenai pelanggaran prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
"Sekiranya akta ini dikaji semula pun ia tidak melihat kepada akta yang memberi bentuk penekanan menyalahkan media semata-mata tetapi lebih berbentuk keterbukaan namun tiada kompromi kepada mereka yang melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara.
"Kerana kita mahu pembelajaran itu datang daripada media kepada masyarakat. Di luar sana kadang-kadang kita pun merasa agak gelisah apabila berlaku pertelagahan dalam perbincangan tertentu," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Tambah Noor Nirwandy, disamping mengkaji dan menambah baik akta terbabit, jalinan kerjasama diantara kerajaan dan pengurusan media juga perlu diwujudkan.
"Terdapat regulasi perlu ditambah baik tetapi apa yang menjadi harapan kepada masyarakat khususnya kita mahu akta itu bersifat people centric, berkepentingan masyarakat dan ia harus adil.
"Ia harus dilihat kepentingan mengawal media secara kolektif dan pada masa sama memberikan media ruang untuk melaporkan perkara yang lebih kritis tetapi tertakluk kepada dasar Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan supaya tidak tersasar," katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam Sidang Dewan Rakyat pada hari ini menjelaskan kementeriannya bercadang untuk meminda Akta 588.
Bagaimanapun jelas Fahmi, pindaan itu bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara.