Pimpinan utama GISB, isteri dan dua anak antara 19 direman tujuh hari
Khalis Khadir
September 19, 2024 15:40 MYT
September 19, 2024 15:40 MYT
SHAH ALAM : Kesemua 19 individu termasuk pemimpin utama Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd serta isteri dan dua anak mereka direman tujuh hari bermula hari ini.
Permohonan reman ke atas individu berusia 25 hingga 65 tahun itu dikemukakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin di Mahkamah Majistret, di sini.
Kesemua mereka terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, 19 orang telah ditangkap dalam operasi khas Bukit Aman jam 5.40 pagi pada Khamis.
Jelas Razarudin, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di empat unit kediaman di Jalan Imbi di ibu negara.
Razarudin berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM).