Pimpinan tertinggi kerajaan perlu ikuti kursus dan latihan - PM Anwar

Bernama
Mac 21, 2024 18:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Bicara Eksekutif Malaysia MADANI Penjawat Awam Tahun 2024, hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kesemua pimpinan tertinggi kerajaan termasuk perdana menteri sendiri perlu mengikuti kursus dan latihan untuk menggilap semangat dan ilmu dalam diri mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kursus dan latihan seperti itu dapat menerapkan semangat kewibawaan, ketrampilan serta tekad kepimpinan tertinggi kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
"Semua kena balik untuk mengikuti satu latihan, kursus untuk menggilap semangat dan ilmu mereka termasuk Ketua Polis Negara.
"Ini kita sarankan supaya ada kesedaran dan kesatuan pemikiran," katanya pada Program Bicara Eksekutif Malaysia MADANI Penjawat Awam Tahun 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata kursus atau latihan seperti itu juga dapat meningkatkan semangat dalam kalangan kepimpinan tertinggi itu semasa bertugas dengan kakitangan bawahan atau ketika berhubung dengan masyarakat.
Anwar berkata dengan semangat dan tekad tinggi dalam kalangan kepimpinan kerajaan melaksanakan tugas, usaha mengubah negara ke arah yang lebih baik dan menjadi negara baharu dapat dicapai dalam tempoh lebih singkat.
Beliau berkata penjawat awam juga perlu menjalankan tugas sebaik mungkin untuk melakukan perubahan terhadap negara secepat mungkin.
"Semoga dengan adanya semangat ini untuk melaksanakan tugas, (kita) tidak payah tunggu 10 tahun, dah boleh ubah wajah negara ini dalam tempoh yang singkat.
"Jika semua menjalankan (tanggungjawab) sebaik mungkin, saya fikir dua atau tiga tahun, kita boleh ada bangunkan sebuah negara Malaysia Baharu," katanya.
-- BERNAMA
#pimpinan tertinggi kerajaan #kursus dan latihan #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #ilmu
;