Pimpinan PH Sabah dan Warisan pertama kali adakan pertemuan

Bernama
September 6, 2019 05:07 MYT
MUHYIDDIN: Ini salah satu perkara kita utamakan supaya rencana dan agenda pembangunan yang kita nak laksanakan di peringkat nasional atau negeri Sabah dapat dilakukan dengan cara terbaik. - Gambar fail
Buat pertama kalinya, pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mengadakan pertemuan dalam satu majlis Jamuan Makan Malam di sini, pada Jumaat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden PH dan Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) turut hadir pada majlis itu yang dihadiri Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Pimpinan parti Sabah dalam PH yang hadir dalam majlis itu adalah Ketua Penyelaras Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Christina Liew, Pemangku Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Pengerusi Amanah Sabah Haris Alimudin.
Semasa ditemui pemberita selepas jamuan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebagai timbalan presiden PH, beliau mengambil peluang dalam lawatan ke Sabah untuk berjumpa pimpinan Warisan diterajui Mohd Shafie dan rakan-rakan lain dalam PH peringkat Sabah.
"Saya fikir ini penting untuk kita tukar pandangan dan pendapat bagaimana urus negara dan negeri. Ini memerlukan kita memperkukuh kerjasama kalangan parti dalam PH dan Warisan.
"Bagi saya ini salah satu perkara kita utamakan supaya rencana dan agenda pembangunan yang kita nak laksanakan di peringkat nasional atau negeri Sabah dapat dilakukan dengan cara terbaik," katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata seperti sedia maklum, negara menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.
"Kalau ada kekitaan dan persamaan selesai masalah ini, kita yakin ia akan diatasi dan menguatkan perjuangan.
"Yang penting kecintaan kita kepada negara kita. Walaupun kita sedar dan tahu cabaran bukan mudah dan tidak boleh diatasi dalam sekelip mata," katanya.
Menurutnya kerajaan hari ini bersungguh-sungguh melaksanakan agenda bukan sahaja meletakkan negara di landasan yang sepatutnya bahkan berusaha membantu rakyat yang memerlukan sokongan dan bantuan.
-- BERNAMA
#kerajaan #Ketua Menteri #lawatan ke Sabah #Mohd Shafie Apdal #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #Parti Warisan #PKR #Sabah
;