'Pilu tengok tokwan cium-cium skrin TV apabila nampak paksu'
Sinar Harian
November 5, 2018 05:49 MYT
November 5, 2018 05:49 MYT
Kesedihan tidak tertanggung apabila anak yang dilahirkan mati dipercayai dibunuh dengan kejam dan dibakar tanpa perikemanusiaan.
Baru-baru ini, tular berita mengejutkan mengenai kematian seorang pembantu tadbir di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) M Suhairi A Wahab, 35, di Kuantan, Pahang.
Mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan terbakar pada badan dan kecederaan pada muka dan kepala.
Terpanggil meluahkan rasa pilu dan sedih, di Twitter, anak saudaranya Norayazid berkongsi kisah duka.
Kehilangan Suhairi jelas menyedihkan seluruh keluarganya yang menyifatkan beliau seorang yang baik dan penyayang.
Apabila melihat tokwan masih berduka atas kehilangan anak bongsunya atau lebih mesra dipanggil paksu, dia jua begitu.
"Memilukan, apabila tokwan nampak gambar paksu di televisyen (TV), tokwan cium-cium skrin TV. Perit rasanya mendapat tahu paksu diperlakukan sedemikian rupa, paksu masih bujang, dia selalu jaga tokwan.
"Tetapi ALLAH SWT telah tarik paksu lebih awal membuatkan tokwan rasa sedih. Luluh hati melihat paksu buat kali terakhir. Memang kejam, sanggup buat begitu kepada paksu kami. Beringatlah, ALLAH itu ada," katanya.
Perkongsian kisah hiba itu meraih lebih 4,000 ciapan dari netizen yang turut bersimpati atas apa yang menimpa Suhairi.
#cium-cium skrin
#mati dibakar
#Norayazid
#pejabat tanah dan galian
#pembantu tadbir
#Suhairi A Wahab
#tanpa perikemanusiaan