Pilu lihat mayat pemandu terperangkap dalam SUV jatuh jambatan

Astro Awani
Januari 22, 2019 19:02 MYT
Usaha menaikkan kenderaan itu terpaksa mengambil masa lebih 24 jam selepas dijumpai pada tiang 34 Jambatan Pulau Pinang pada petang Isnin. - Astro AWANI
Kenderaan SUV Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang akhirnya berjaya dinaikkan sekitar jam 5.50 petang Selasa.
Kenderaan itu berjaya dinaikkan bersama mayat mangsa, Muey Yun Peng, 20 tahun, yang masih berada di tempat duduk pemandu dan memakai tali pinggang keledar.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran berkata, pengecaman identiti mangsa dibuat berdasarkan penemuan dompet mangsa yang masih berada di dalam poket seluarnya.
Katanya, walaupun kereta mangsa remuk teruk, namun keadaan mayat Yun Peng secara luarannya masih sempurna.
Bagaimanapun, pihaknya menunggu laporan bedah siasat yang dijadual dilakukan pada Selasa malam.
Kenderaan SUV Mazda CX-5 itu dibawa keluar dari kedalaman 15 meter dari dasar laut dengan bantuan kren.
Usaha menaikkan kenderaan itu terpaksa mengambil masa lebih 24 jam selepas dijumpai pada tiang 34 Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 4 petang Isnin.
Ketika operasi SAR dilakukan, keadaan di atas Jambatan Pulau Pinang sesak teruk.
Selain ahli keluarga Yun Peng yang menunggu di atas jambatan sejak pukul 3 petang, orang ramai turut mengambil kesempatan menyaksikan detik-detik kenderaan itu dinaikkan.
Kenderaan itu berjaya dinaikkan pada percubaan kali kedua selepas percubaan kali pertama pada pukul 5 petang gagal akibat tali tercabut dari cangkuk.
Sebaik sahaja dinaikkan, ahli keluarga mangsa bergegas menuju ke arah kenderaan itu, manakala wakil media dan orang ramai tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut.
BACA: Polis kenal pasti pemandu kenderaan terjunam ke dalam laut
Operasi SAR untuk menaikkan kenderaan itu bermula kira-kira pukul 7 pagi Selasa, namun terpaksa ditangguhkan pada sebelah petang akibat arus air laut yang deras selain faktor penglihatan penyelam pada paras sifar.
Pengarah Koordinasi SAR, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd Said dalam sidang media terdahulu berkata, operasi disambung selepas pukul 3 petang kerana mengikut jadual pasang surut air laut menunjukkan pada masa tersebut adalah 'slack water' atau air tenang.
Kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa dilakukan pasukan penyelamat di atas Jambatan Pulau Pinang.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan tersebut pada pukul 6.36 petang dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
Atas sebab menjaga perasaan dan sensitiviti waris mangsa, Astro AWANI tidak dapat menayangkan imej pemandu berkenaan.
#Jambatan Pulau Pinang #kabel #kemalangan #Muey Yun Peng #Rozali Mohd Said #slack water #SUV Mazda CX-5
;