Pilihanraya Sarawak: Tolak campur tangan asing dalam politik negara - Najib

Tan Su Lin
April 30, 2016 21:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tian, Matu, hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak rakyat Malaysia agar menolak sebarang campur tangan luar dalam hal ehwal pentadbiran mahupun politik negara.
Gagal berbuat demikian katanya, ia akan menyebabkan negara porak peranda seperti apa berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.
"Jangan ada campur tangan orang asing dalam politik tanah air kita. Politik kita adalah hak kita, rakyat Malaysia. Orang asing dan orang luar tidak ada hak. Kita sendiri yang akan tentukan masa depan kita.
"Kalau mereka campur tangan akan porak peranda negara. Negara-negara di seperti Timur Tengah seperti Syria, Mesir, dan Libya sudah hancur kerana antaranya sebabnya campur tangan dari luar," ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Tian, Matu, di sini.
Beliau juga melahirkan kekecewaan dengan tindakan sesetengah pihak yang seolah-olah cuba mengajak campur tangan luar.
"Yang anehnya seorang pemimpin negarawan kita. Dulu kata jangan benarkan orang asing jangan campur tangan. Hari ini dia suruh orang asing campur tangan. Ini adalah tidak betul," katanya lagi.
Justeru Najib turut menyeru rakyat Sarawak menolak campur tangan asing ini dengan memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri, 7 Mei ini.
Sebelum itu, Najib juga sempat meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk di Pasar Tani Tian.
Turut hadir calon N44 Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya dan calon N43 Daro, Shafiee Ahmad.
#Adenan Satem #Barisan Nasional #BN #Mukah #Najib Razak #PBB #pilihan raya Sarawak #PRN-11 #sarawak2016
;