'Pilihan raya tetap berkualiti biarpun bajet dikurangkan' - Pengerusi SPR
Hilal Azmi
Januari 28, 2016 17:48 MYT
Januari 28, 2016 17:48 MYT
Pengubahsuaian Bajet 2016 bakal mengurangkan peruntukan pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dianggarkan bernilai RM181 juta sebelum ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pengurangan pada kadar 10 hingga 15 peratus tidak akan menjejas pelaksanaan proses pilihan raya.
"SPR masih berbincang dengan pihak Kementerian Kewangan dan juga pembekal untuk mengurangkan kos untuk Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak nanti.
"Kita harus faham di Sarawak, perkhidmatan seperti helikopter menjadikan kos operasi lebih tinggi berbanding tempat lain.
"Kami sedang cari jalan untuk kurangkan kos tanpa mengurangkan kualiti pengurusan pilihan raya yang sememangnya jadi tumpuan utama SPR.
"Kami akan pastikan pengurusan pilihanraya yang berkualiti biarpun terdapat pengurangan bajet," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Hashim meminta pengundi PRN Sarawak membuat semakan awal berkaitan kawasan DUN masing-masing bermula hari ini.
Katanya langkah itu selaras dengan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya yang diluluskan dan diwartakan baru-baru ini.
"Seramai lebih 159,871 pengundi terlibat dengan perubahan ini berikutan pertambahan kerusi DUN daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi.
"Semakan ini bertujuan supaya pengundi yang terlibat dengan perubahan DUN dapat mengetahui lebih awal di DUN mana mereka akan mengundi pada PRN Sarawak ke-11 nanti," katanya.
Semakan status mengundi boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8892 7000 atau secara dalam talian di laman web SPR di www.spr.gov.my atau SMS dengan menaip SPR SEMAK no kad pengenalan ke 15888.