Pilihan Raya Sarawak mungkin tahun depan - Dr Sim
Astro Awani
Oktober 3, 2020 13:25 MYT
Oktober 3, 2020 13:25 MYT
KUCHING: Kemungkinan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 untuk diadakan pada tahun ini adalah rendah.
Perkara itu dinyatakan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian berdasarkan perkembangan COVID-19 semasa di negara yang ini yang menyaksikan kes positif yang kembali melonjak.
Jelasnya, mengadakan pilihan raya dalam keadaan semasa hanya akan membahayakan nyawa rakyat di negeri itu.
"Pilihan raya mungkin tahun depan.
"Virus yang sama masih ada. Sarawak telah kehilangan 19 nyawa akibat virus ini," katanya.
Untuk rekod kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya negeri adalah pada 7 Mei 2016 dan tempoh mandat Dewan Undangan Negeri DUN Sarawak akan berakhir pada Jun 2021.
Ini bermakna, PRN Sarawak ke -12 boleh diadakan pada Julai 2021 atau sebelum 7 September 2021.
Dalam perkembangan berkaitan Dr Sim menegaskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah menggerakkan kawalan yang sangat ketat dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Ini termasuk memperketatkan kawalan di pintu masuk sempadan dan lapangan terbang.
"Kita menjalankan ujian imbasan ke atas lebih ramai orang berbanding negeri lain.
"Ada yang beranggapan ini menyusahkan tetapi anda perlu ingat ia penting bagi melindungi anda, keluarga, masyarakat dan seluruh rakyat Sarawak," tegasnya.
#Sarawak
#PRN Sarawak
#Sarawak Memilih
#PRN
#pilihan raya Sarawak
#pilihan raya
#Dr Sim
#2016
#COVID-19