Pilih premis pajak gadai berlesan untuk berurusan

Bernama
Disember 11, 2019 06:04 MYT
Hanya papan tanda 'Pemegang Pajak Gadai Berlesen' diiktiraf sebagai papan tanda iklan yang sah untuk digunakan oleh premis pemegang pajak gadai berlesen dan berdaftar dengan KPKT. -Gambar hiasan
Hanya papan tanda 'Pemegang Pajak Gadai Berlesen' diiktiraf sebagai papan tanda iklan yang sah untuk digunakan oleh premis pemegang pajak gadai berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Cawangan Siasatan dan Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT, Supt Mohd Fauzi Hassan berkata pajak gadai haram sering mengaburi mata pengguna dengan pelbagai jenis iklan dengan tawaran yang menarik, dan semakin berleluasa melalui dalam talian menerusi pelbagai jenis platform media sosial.
Beliau memberi contoh papan tanda yang bertulis seperti 'Beli Surat Pajak', 'Upah Simpan'dan 'Beli Barang Kemas' adalah perniagaan pajak gadai haram.
"Orang awam dinasihat untuk menjalankan urusan pajak gadai di premis berlesen bagi mengelakkan diri daripada dianiaya," katanya pada sidang media pada Rabu.
Mohd Fauzi berkata pajak gadai haram kebiasaannya mempunyai perjanjian dan terma-terma pajakan yang kebanyakannya tidak tetap mengikut kehendak syarikat serta mengambil keuntungan melebihi dua peratus sebulan.
"Bagi pajak gadai haram, barang sandaran yang tidak ditebus dalam tempohnya akan dilupus mengikut kehendak syarikat serta barang sandaran tidak disimpan di premis yang menjalankan urusan pemajakgadaian," katanya.
Mohd Fauzi berkata kelebihan menjalankan urusan pajak gadai di premis berlesen adalah kerana surat pajak gadai mengikut borang yang ditetapkan dengan terma yang sah di segi undang-undang dan kadar keuntungan tidak melebihi dua peratus sebulan.
"Tempoh pemajakgadaian pula adalah selama enam bulan atau tempoh yang lebih lama mengikut persetujuan, barang sandaran disimpan di dalam premis yang dilesenkan dengan tahap keselamatan yang tinggi dan diinsuranskan serta barang sandaran yang tidak ditebus akan dilupus melalui lelongan dan hasil lelongan akan dikembalikan kepada pemajak jika ada lebihan," katanya.
Mohd Fauzi berkata setakat ini terdapat 623 premis pajak gadai yang berlesen di seluruh Malaysia dan orang ramai digalak membuat carian mengenai pemegang pajak gadai berlesen melalui aplikasi i-Gadaian bagi kawasan Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, sehingga 31 Okt lepas, sebanyak 31 kes kesalahan dilakukan berkaitan pemegang pajak gadai seperti tidak mencatatkan butir urusniaga, tidak mempunyai lesen yang sah, kesalahan iklan, rekod pajakan yang tidak dibukukan dan tidak mempamerkan lesen.
-- BERNAMA
#berlesan #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #Ketua Cawangan Siasatan dan Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit K #papan tanda #Pemegang Pajak Gadai Berlesen #Supt Mohd Fauzi Hassan
;