Pilih pemimpin tepat, elak negara ditimpa malapetaka - Tun Mahathir

Harits Asyraf Hasnan
November 22, 2019 18:45 MYT
Dr Mahathir menyampaikan ucapan di Konvensyen Malaysia Future Leaders School di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Golongan muda di negara ini dinasihati memilih pemimpin dengan tepat supaya akhirnya keputusan yang dibuat mereka tidak membawa malapetaka kepada negara.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, seseorang pemimpin itu akan menjadi faktor utama kepada kemajuan sesebuah bangsa.
“Baik pemimpin, berjayalah masyarakat. Buruk pemimpin, rosaklah masyarakat… dan ini telah kita lihat di negara kita.
“Apabila kita dapat pemimpin yang mampu dan berwibawa, mempunyai sifat-sifat yang baik maka akan majulah bangsa itu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Menurut beliau, kuasa yang dipegang oleh pemimpin boleh disalah guna yang akhirnya akan membawa keburukan dan malapetaka kepada sesebuah masyarakat.
“Setiap pepimpin mempunyai kuasa, kuasa ke atas mereka yang dipimpin olehnya. Kuasa itu hendaklah digunakan dengan cara yang baik.
“Kuasa itu kalau digunakan dengan cara yang buruk akan bawa malapetaka kepada dirinya dan juga kepada masyarkat,” kata Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Dr Mahathir mahu golongan muda yang bakal menjadi pemimpin negara masa hadapan untuk memiliki nilai tinggi selain berwibawa dalam memacu negara.
#elak negara dilanda malapetaka #Konvensyen Malaysia Future Leaders School #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #pilih pemimpin yang tepat #Tun M nasihat generasi muda
;