Pilih pemimpin kerana keupayaannya, bukan lagi kerana parti - Jahaberdeen
Israr Khalid
Januari 4, 2022 12:58 MYT
Januari 4, 2022 12:58 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam pilihan raya akan datang, pilihlah pemimpin kerana keupayaannya, bukan kerana partinya.
Tegas Pengerusi Yayasan RAPERA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, penguasaan sesebuah parti itu dalam kerajaan tidak menjanjikan pelaksanaan tugas yang cemerlang tetapi mereka yang dipilih menjadi perwakilan itu tunjangnya.
Beliau berpendapat politik kepartian di negara ini adalah satu sistem yang lemah di mana rakyat dikelirukan dengan konsep kestabilan negara itu bersandarkan parti yang kuat, hakikatnya gagal untuk melaksanakan tugas apabila sudah dipilih.
Kepincangan konsep ini terbongkar apabila satu demi satu krisis melanda negara, dari pandemik COVID-19 hinggalah banjir baru-baru ini yang memperlihatkan kegagalan mereka yang berkuasa melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Sejak 2018 hingga sekarang saya percaya kerana krisis ketidakstabilan politik, pandemik COVID-19 dan banjir, rakyat semakin sedar yang sistem kepartian itu adalah satu sistem yang sangat lemah, di mana ia tidak mengetengahkan pemimpin-pemimpin yang benar-penar mengambil berat dan berjuang untuk rakyat, yang berpura-pura itu ramai.
“Jadi rakyat kena berani untuk melangkah ke depan memilih pemimpin-pemimpin yang pandai, berkebolehan dan berkelayakan, itu yang penting.”
Beliau juga menegaskan perlunya rakyat faham tentang perbezaan antara kerajaan pentadbiran dengan kerajaan politik, di mana teras kelangsungan sesebuah negara itu letaknya pada perkhidmatan awam dan bukan di bahu orang-orang politik semata-mata.
Katanya, negara masih berfungsi walaupun semua orang politik bersara sekali pun, tetapi mereka berperanan dalam memimpin dan menetapkan hala tuju sistem itu ke arah yang lebih baik.
“Harap rakyat Malaysia faham (dan terjemahkannya) masa Pilihan Raya Umum (PRU-15) nanti.”
Tonton temu bual penuh bersama Jahaberdeen dalam program Agenda AWANI dihoskan Dzulfitri Yusop, di sini:
Pilih pemimpin kerana keupayaannya, bukan lagi kerana parti - Dr. Jahaberdeen
Agenda AWANI: Gugurkan menteri prestasi buruk