Pilih masa sesuai anjur tazkirah di bulan Ramadan - Mufti Wilayah

Hasimi Muhamad
Mei 14, 2019 21:36 MYT
Justeru itu, Dr. Zulkifli berharap tidak berlaku pertelagahan dalam kalangan umat Islam berhubung penganjuran majlis tazkirah pada bulan Ramadan. Gambar BERNAMA
Masjid-masjid dan surau di seluruh negara dinasihatkan supaya memilih masa yang bersesuaian jika mahu menganjurkan majlis tazkirah pada bulan Ramadan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini bagi memastikan kedua-dua pihak yang berminat mendengar tazkirah dan mahu menunaikan solat terawih diraikan bersama pada bulan mulia ini.
“Kalau nak buat (tazkirah) boleh buat dalam tempoh yang terhad, mungkin dalam masa 10 hingga 20 minit.
“Hari ini (tazkirah dilakukan) selepas solat witir atau terawih, dan saya lebih berminat majlis ilmu ini dibuat sebelum solat sunat terawih atau sebelum masuk waktu solat Isyak. Boleh buat tazkirah pada pukul 8.15 malam,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran majlis tazkirah pada bulan Ramadan di tengah-tengah solat terawih.
Situasi ini menyebabkan segelintir jemaah yang mahu menunaikan solat sunat terawih dilihat tidak seronok kerana mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan solat sunat tersebut.
Sependapat dengan perkara itu, Dr Zulkifli menjelaskan bacaan ayat lazim yang pendek juga boleh membuatkan solat terawih diselesaikan dalam tempoh waktu yang singkat.
“Sebab itu Nabi Muhammad SAW mengajar sahabat-sahabat baginda supaya membaca surah (al-Quran) janganlah lama ketika mereka mengimamkan solat.
“Sifat meraikan (jemaah yang mahu dengar) tidak timbul masalah, lakukan tazkirah dalam masa 15 minit dan pilih waktu yang tidak menganggu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, adapun begitu, penganjuran majlis tazkirah pada bulan Ramadan boleh dijalankan mengikut persetujuan di negeri masing-masing.
Ujarnya, langkah yang diambil oleh kebanyakkan masjid dan surau melalui penganjuran majlis ilmu itu sebagai usaha mendirikan malam Lailatul Qadar.
“Salah satunya adalah menghadiri majlis-majlis ilmu. Saya melihat perkara yang dibangkitkan di banyak masjid atau surau adalah satu feqah,” katanya.
Justeru itu, Dr Zulkifli berharap tidak berlaku pertelagahan dalam kalangan umat Islam.
“Kita tidak mahu berlaku pergaduhan di bulan Ramadan kerana (majlis) tazkirah adalah perkara baik yang disampaikan oleh penceramah,” tegasnya.
Pada 2013, kerajaan negeri Pahang pernah mengeluarkan arahan melarang ceramah atau tazkirah semasa solat terawih, dan mana-mana masjid yang ingkar boleh dikenakan tindakan.
Sementara, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid sebelum ini sudah menyarankan dua waktu untuk masjid dan surau mengadakan majlis tazkirah Ramadan iaitu antara waktu solat Maghrib dan Isyak atau selepas selesai solat tarawih.
#bulan Ramadan #Islam #majlis ilmu #Mufti Selangor #Mufti Wilayah Persekutuan #Pandangan Ustaz #puasa #solat terawih #Tazkirah ramadan #Umat Islam sambut Ramadan
;