Pilih kerajaan diyakini mampu jaga kebajikan rakyat - PM Najib
Bernama
Februari 5, 2018 11:32 MYT
Februari 5, 2018 11:32 MYT
Tahun 2018 adalah penting buat rakyat untuk membuat keputusan memilih pihak yang diyakini boleh mentadbir negara, sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan melihat ke hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini, Najib berkata untuk itu, kerajaan juga memerlukan semua penjawat awam untuk menjalankan pentadbiran negara dengan cekap, efisyen dan berintegriti supaya segala inisiatif kerajaan sampai ke tangan rakyat.
"Sebaliknya jika kita bersikap sambil lewa atau menambah permasalahan tanpa penyelesaian atau terlalu bersifat 'red tape', tentu sahaja kita tidak dapat memenuhi harapan rakyat," katanya pada perhimpunan bulanan JPM pertama untuk tahun ini. Perhimpunan bulan lepas dibatalkan atas sebab cuaca.
Beliau berkata akujanji kerajaan pimpinannya kepada rakyat yang dibuat pada lima tahun lepas berjaya mencapai 97.6 peratus pelaksanaannya yang tidak mungkin menjadi kenyataan jika tiada kerjasama erat dalam kalangan penjawat awam.
"Satu hubungan yang kita perlu terus pelihara dan mantapkan lagi kerana penjawat awam adalah tulang belakang yang kita harapkan untuk mencapai cita-cita besar untuk Malaysia," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sudah banyak kejayaan yang dicapai negara dengan yang terbaharu, Forum Ekonomi Dunia yang meletakkan Malaysia sebagai negara Asia terbaik dalam Indeks Pembangunan Inklusif (IDI).
Menurutnya Malaysia berada pada nombor 13 di dunia dan satu di Asia, manakala China di tempat ke-25 dan India nombor 62.
Najib berkata nilai Ringgit turut mengukuh dengan melepasi paras psikologi RM4 pada 5 Jan lepas dan menjadi antara mata wang yang mencatat prestasi terbaik di dunia.
Katanya Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Seri Ranjit Ajit Singh memaklumkan pengukuhan nilai Ringgit itu disumbangkan oleh kemasukan dana asing kerana keyakinan terhadap dasar-dasar negara, selain kenaikan harga minyak.
"Inilah sentimen yang kita dapat lihat, dan tahun ini kita akan laksanakan Bajet 2018, yang bersifat inklusif, ada sesuatu untuk semua dalam bajet ini," katanya.
Menyifatkan 2018 adalah tahun teristimewa, Najib berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bekerja lebih kuat.
"Tahun lepas adalah Tahun Penyampaian, tahun ini adalah Tahun Kejayaan dan Keberhasilan yang Mengkagumkan," katanya.
Najib yang menunaikan ibadah umrah pada Disember lepas, turut berkongsi pengalaman menariknya bertemu dengan ramai rakyat Malaysia ketika menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Katanya ia menunjukkan dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia adalah negara yang gagal dan bankrap adalah tidak benar.
"Ada (rakyat Malaysia) yang gamit dari jauh, ada juga yang ambil video. Ini pasti pada setiap waktu. Saya juga diberitahu di Oxford Street, London pasti terserempak dengan rakyat Malaysia," kata Najib.
-- BERNAMA