Pilih kerajaan bawa kestabilan politik, mampu urus negara - PM Najib

Bernama
Mac 30, 2018 04:40 MYT
Najib berucap pada Majlis Makan Malam Regimental ATM dan PDRM di Wisma Pewira ATM malam tadi. - BERNAMA
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat perlu memilih kerajaan mampu menguruskan dengan baik dimensi politik, ekonomi, sosial dan keselamatan yang penting dalam proses membina negara bangsa.
Mengulas mengenai kepentingan aspek kepimpinan dan kestabilan politik, Perdana Menteri berkata ia perlu ditekankan bagi memastikan hala tuju dan masa depan negara terjamin.
"Kalau tidak ada kestabilan politik dan kepimpinan yang memahami bagaimana perlu membangun dan tadbir negara serta menentukan agenda keutamaan untuk negara, segala (harapan) mungkin tidak akan menjadi bermakna sama sekali," katanya.
Najib berucap pada Jamuan Malam Rejimental Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2018 di Wisma ATM di sini malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Najib menegaskan kepimpinan yang tidak memahami aspirasi negara, misalnya, akan bertindak mengurangkan saiz penjawat awam termasuk dalam kalangan warga ATM dan PDRM serta perkhidmatan pelajaran.
"Segalanya mungkin berlaku jika dasar kerajaan tidak menepati keperluan sebenar atau lebih buruk lagi ada (matlamat) tersirat, yang tidak memahami asal usul sejarah negara," katanya merujuk kepada cadangan pihak tertentu agar Rejimen Askar Melayu Diraja dibubarkan kerana kononnya tidak sesuai dengan konsep 'Malaysian Malaysia'.
"Saya bukan nak timbulkan isu sensitif tetapi mahu supaya kita semua sedar dan hayati hakikat kita perlu tentukan kepimpinan paling sesuai dan tepat untuk (mencapai) aspirasi dan masa depan negara kita bersama," kata Najib.
Jamuan malam bersama ATM dan PDRM yang julung kali diadakan itu turut meraikan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-211 pada 25 Mac lalu. Ia dihadiri 460 warga ATM dan PDRM. -- Bernama
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #ekonomi #kerajaan #kestabilan politik #Malaysia #Najib Razak #PDRM
;