'Pilih kasih memaksa saya tinggalkan Malaysia' - Uncle Hashim

Agensi
Januari 31, 2021 21:30 MYT
Hashim mengimbas cerita bagaimana tanggungjawab terhadap keluarga dan sikap pilih kasih memaksanya membuat keputusan meninggalkan negara. - Foto/Bernama
KUALA LUMPUR: Hampir separuh abad bermaustatutin di Australia, Hashim Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Uncle Hashim hanya sesekali pulang ke Malaysia untuk menziarah keluarga dan rakan-rakan.
Minggu lalu, lelaki berusia 79 tahun itu menerima salah satu penghormatan tertinggi Australia, Order of Australia Medal, atas khidmatnya kepada masyarakat Islam termasuk usaha mewujudkan sijil halal di negara itu.
Hashim mengakui hatinya tidak pernah 'meninggalkan' Malaysia, namun terpaksa mengorbankan kewarganegaraannya sebagai syarat untuk menjadi penjawat awam di Australia.
Begitupun, beliau percaya keputusan berat itu membantunya membawa nama negara dengan lebih baik.
Kepada Free Malaysia Today, Hashim mengimbas cerita bagaimana rasa tanggungjawab terhadap keluarga dan sikap pilih kasih dihadapinya memaksanya membuat keputusan meninggalkan negara puluhan tahun lalu.
Sebagai guru di Sekolah Menengah (SM) Sultan Abdul Halim di Kedah pada tahun 1966, Hashim dipilih daripada hampir 2,000 calon untuk mengikuti program perintis program yang kini dikenali sebagai TV Pendidikan.
Beliau ketika itu merekodkan 20 pengajaran biologi untuk disiarkan kepada pelajar.
"Perjanjian tidak bertulis adalah saya dan seeorang lagi rakan sekerja akan dihantar ke Kanada selama beberapa tahun untuk latihan dan kemudian kami kembali dan menjalankan program ini.
"Kami menunggu dan menunggu, tetapi tidak mendengar apa-apa dari kementerian. Akhirnya, setelah dua tahun, kami mendapat khabar bahawa orang lain telah dihantar ke Kanada, dan dia adalah menantu salah seorang individu penting di kementerian penerangan,” dakwanya.
Kemudian, pada tahun 1972, ketika beliau sudah berada di Canberra, kerajaan menawarkan RM14,000 kepada bapanya untuk mendapatkan sebidang tanah milik keluarga bagi membina jambatan yang turut merangkumi sungai di belakang rumah mereka.
"Di seberang sungai itu sebidang tanah lain, tetapi tanah berkenaan kosong. Kami kemudian mendapat tahu bahawa pemilik plot itu adalah seorang Ahli Parlimen, dan mereka ditawarkan RM70,000.
"Pengalaman ini benar-benar mengecewakan saya dan keluarga, dan meyakinkan saya untuk membuat keputusan berhijrah," dakwanya.
BACA: Rakyat Malaysia 'Uncle Hashim' dianugerah pingat Order of Australia
Hashim tiba di Australia pada tahun 1969 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer.
Beliau turut menubuhkan sebuah organisasi untuk umat Islam, rakyat Malaysia dan pelajar, dan membantu melobi untuk mendapatkan sijil penyembelihan halal di Australia serta plot tanah perkuburan untuk pengebumian yang mematuhi tatacara Islam.
Hashim kemudian menghabiskan 26 tahun sebagai penjawat awam di Australia, dan memperoleh jawatan diplomatik senior di Indonesia dan Filipina sebelum bersara pada tahun 1998.
Sejak itu, beliau telah melakukan kerja kemasyarakatan, membantu pengebumian orang Islam, mengajar al-Quran dan membantu menjaga warga emas.
Projek terbaharunya adalah pelancaran Australian Muslim Aged and Respite Care, sebuah platform untuk masyarakat Islam di Canberra dan memberi warga emas persekitaran yang selesa dan rawatan perubatan sepenuhnya.
Di sebalik semua yang terjadi dan pencapaiannya di Australia, Hashim menegaskan beliau tetap akan pulang ke Malaysia.
"Saya akan pulang sebentar apabila wabak COVID-19 berakhir, banyak orang yang saya nak ziarah."
Hashim memaklumkan ahli keluarganya Kedah dan Kuala Lumpur sangat terkejut apabila diberitahu beliau mendapat anugerah tersebut.
"Saya tidak fikir mereka benar-benar tahu signifikan anugerah berkenaan, malah ada yang bertanya kepada saya, adakah ia sama seperti gelaran Datuk?" katanya sambil ketawa.
#Hashim Abdul Rahman #Malaysia #Australia #penjawat awam #Uncle Hashim #Order of Australia Medal #kerajaan
;