Pikul 10kg sampah sarap dibuang di air terjun
Sinar Harian
Oktober 25, 2021 09:55 MYT
Oktober 25, 2021 09:55 MYT
KEMAMAN: Seorang juruteknik membatalkan hasrat untuk beriadah sambil mendaki di kawasan Air Terjun Janda Mandi di Bukit Kijal, di sini pada Khamis lalu setelah melihat banyak sampah sarap yang dibuang di kawasan tersebut.
Muhamad Hafizi Tajudin, 27, memberitahu, dia dan rakannya, Nuralia Faziera Mohamad, 27 memutuskan untuk mengutip dan membawa turun longgokan sampah yang ditinggalkan di sepanjang laluan pendakian ke tempat pembuangan sampah.
"Mula-mula kutip satu sahaja botol minuman yang dibuang merata-rata sebelum terjumpa longgokan sampah sarap di dalam plastik hitam yang sudah seminggu ditinggalkan.
"Saya terus batalkan niat untuk mendaki sebaliknya berusaha membawa turun sampah yang ditinggalkan untuk dimasukkan ke dalam tong sampah utama di pintu masuk kawasan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.
Katanya, dia mengambil masa sehingga 40 minit untuk membawa turun sampah berkenaan kerana perlu melalui laluan berbukit dan curam sejauh 1 kilometer (km).
Walaupun agak penat kerana terpaksa memikul bebanan seberat 10 kilogram (kg), Muhamad Hafizi berasa puas kerana dapat membersihkan kawasan itu.
"Antara sampah yang ditemui termasuklah botol-botol minuman, bungkusan makanan dan pelitup muka.
"Sampah sarap ini jika tidak terus dibuang lama kelamaan semakin bertambah dan akan mencemarkan alam sekitar," katanya yang turut memuat naik aktiviti mengutip sampah menerusi aplikasi TikTok.
Menurut Muhamad Hafizi, dia tidak menyangka perkongsian yang dimuat naik di aplikasi itu turut dikongsi Facebook Discovery Terengganu sehingga mendapat 1.6 juta tontonan, 73,000 tanda suka serta 7,800 perkongsian setakat Ahad.
"Sebenarnya saya mahu suntik kesedaran dalam kalangan rakan-rakan sahaja, tak sangka pula ada yang kongsi di laman sosial Facebook dan menjadi tular.
"Saya bersyukur kerana dikurniakan kekuatan untuk memikul sampah-sampah ini. Saya harap, apa yang saya kongsikan itu dapat menyuntik kesedaran sivik dan kita semua dapat sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar," katanya.
Selain Air Terjun Janda Mandi, Muhamad Hafizi juga menjalankan aktiviti riadah di beberapa lokasi di Kemaman antaranya Bukit Harimau Menangis, Kemasik dan Bukit Penpajat, Pantai Marina.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.