PIKAS untuk 30,000 pekerja sektor industri di HKTP bermula Sabtu ini

Bernama
Julai 8, 2021 08:46 MYT
Penubuhan PPV Integrasi di LICC juga diharap dapat mempercepatkan proses vaksinasi di pulau pelancongan itu. - Foto fail/BERNAMA
ALOR SETAR: Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk 30,000 pekerja sektor industri di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kulim, akan diadakan di Kompleks Sukan KHTP, bermula Sabtu ini.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata proses vaksinasi itu turut melibatkan 18,000 lagi pekerja sektor industri dari luar kawasan KHTP.
"Selain itu, dua PIKAS turut dilaksanakan di Pusat Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (KISMEC) dan Kilang Minibea Electronics Motor (M) Sdn Bhd, di Sungai Petani dalam tempoh terdekat untuk pekerja industri dalam daerah Kuala Muda," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, sehingga 28 Jun lepas, terdapat sebanyak 15 pusat pemberian vaksin (PPV) bukan kesihatan di negeri ini telah dibuka dengan kapasiti sebanyak 9,200 suntikan.
"Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi negeri Kedah menyasarkan lebih 2.185 juta penduduk warganegara dan bukan warganegara dapat menerima vaksin masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, katanya, penubuhan PPV Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) juga diharap dapat mempercepatkan proses vaksinasi di pulau pelancongan itu bagi mencapai imuniti kelompok sekali gus membolehkan sektor pelancongan di pulau itu dihidupkan kembali melalui program 'gelembung hijau' pelancongan.
-- BERNAMA
#PIKAS #Kulim Hi-Tech Park #KHTP #Muhammad Sanusi Md Nor #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi #COVID-19 #imuniti kelompok
;