Pikap jatuh sungai: Pemandu hilang, isteri ditemukan berpaut di dahan
Astro Awani
Februari 16, 2022 14:17 MYT
Februari 16, 2022 14:17 MYT
BESUT: Seorang peniaga dikhuatiri hilang manakala isterinya terselamat selepas pacuan empat roda yang dinaiki pasangan itu terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Tembila.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6 pagi di Jambatan Tembila, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata ketika kejadian pacuan empat roda itu dipandu dari arah Kelantan menuju ke Kuala Terengganu.
Katanya sejurus tiba di tempat kejadian kenderaan jenis Toyota Hilux berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jambatan sebelum terjatuh ke dalam sungai.
Susulan kejadian itu isteri pemandu terbabit Azizah Mohamad Yusof, 51, ditemukan sedang berpaut pada sebatang pokok di tebing sungai.
Dia ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sekitar jam 9.25 pagi tadi.
Sementara itu seorang saksi yang turut membantu menemukan mangsa, Zulkifli Kassim berkata, ketika terjaga untuk menunaikan solat subuh pagi tadi dia terdengar satu dentuman kuat sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Lepas sembahyang subuh, saya pergi tengok tak ada apa-apa, lepas tu bomba datang, saya tanya tetapi dia kata tidak tahu cerita lagi tetapi dengar ada Hilux jatuh, lepas tu saya balik rumah.
"Masa di rumah saya duduk di tepi sungai dengar bunyi macam suara kera tiga kali saya terdengar, saya kata bukan kera dah orang ini saya panggil dengar suara orang (mangsa) jawab," katanya.
Ketika ini operasi mengesan pemandu kereta yang berusia 52 tahun masih giat dilakukan membabitkan 48 kekuatan daripada pasukan Polis, Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Usaha pencarian turut dilakukan pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.