Pihak sekolah diminta jalankan pemeriksaan dadah 'strawberry quick'

Bernama
Februari 4, 2017 22:44 MYT
SIN WOON: Pihak sekolah diminta menjalankan pemeriksaan di sekolah masing-masing mengenai dakwaan dadah terbaru iaitu gula-gula 'strawberry quick'. - Gambar fail
Pihak sekolah di seluruh negara diminta supaya menjalankan pemeriksaan di sekolah masing-masing mengenai dakwaan sejenis dadah terbaru iaitu gula-gula 'strawberry quick' yang dikatakan diedarkan di sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata kementeriannya memandang serius perkara ini dan ia perlu segera dibendung.
"Pihak sekolah hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga dan mengadakan pemeriksaan mengejut jika mendapat tahu kemasukan (penularan) gula-gula ini di sekolah," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Pusat Perubatan NSCMH di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Pusat Perubatan NSCMH Datuk Lee Tian Hock.
Katanya kementeriannya juga mengadakan kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk membuat ujian air kencing terhadap pelajar yang disyaki terlibat dengan dadah.
"Kami akan sentiasa melaksanakan langkah-langkah ini supaya isu penggunaan dadah melalui gula-gula ini tidak merebak di sekolah kita," katanya.
Chong berkata setakat ini kementeriannya bagaimanapun tidak menerima laporan mengenai penggunaan dadah melalui gula-gula berkenaan di sekolah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya masih belum dapat menganggarkan kerugian kerosakan yang ditanggung oleh sekolah di seluruh negara akibat banjir baru-baru ini.
"Ini kerana kita masih lagi menghadapi ancaman banjir. Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi ada satu lagi pusingan banjir pada bulan ini dan kami sedang memantau perkara ini. Selepas itu baharu kita tahu kos kerugian sekolah keseluruhannya akibat banjir," katanya.
Bagaimanapun, katanya kementeriannya sentiasa menyediakan tabung khas untuk kecemasan terhadap mana-mana sekolah yang rosak akibat bencana alam seperti ribut, banjir dan sebagainya.
"Tabung khas ini akan menyalurkan bantuan kewangan bagi membiayai kos membaiki kerosakan kepada sekolah terbabit," katanya.
-- BERNAMA
#AADK #Datuk Chong Sin Woon #NSCMH #strawberry quick
;