Pihak media diminta kosongkan kawasan blok rumah Zayn Rayyan

Sinar Harian
Disember 11, 2023 08:09 MYT
Pada hari kelima siasatan terperinci di sekitar Apartmen Idaman, kumpulan media masih setia menunggu perkembangan terkini kes pembunuhan kanak-kanak malang itu. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Kumpulan media tidak dibenarkan berada di sekitar kawasan perumahan kanak-kanak autistik yang mati dibunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini.
Pihak media yang berkumpul sejak awal pagi di sekitar rumah keluarga kanak-kanak tersebut diarahkan untuk meninggalkan kawasan tersebut pada Isnin.
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengawal kawasan blok perumahan itu dengan ketat bagi melancarkan proses siasatan.
Tinjauan awal Sinar Harian di kawasan perumahan mendapati sebahagian anggota PDRM bertugas masih menjalankan siasatan di lokasi mula Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
Pada hari kelima siasatan terperinci di sekitar Apartmen Idaman, kumpulan media masih setia menunggu perkembangan terkini kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.
Semalam, anggota Unit Forensik PDRM dilihat membawa keluar empat beg kertas dari blok unit kediaman keluarga Zayn Rayyan.
Beberapa anggota forensik sebelum itu hadir menjalankan siasatan di lokasi berkenaan dipercayai sebagai usaha mengesan petunjuk baharu dengan mengambil bukti dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
BACA SEMUA BERHUBUNG ZAYN RAYYAN DI SINI
Polis turut menjalankan pemeriksaan di sebuah stor yang dijadikan tempat simpanan motosikal berdekatan salah sebuah blok di kawasan Apartment Idaman.
Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik PDRM difahamkan menjalankan pemeriksaan lebih empat jam di stor yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman mangsa.
#Zayn Rayyan Abdul Matiin #Unit forensik PDRM #Apartment Idaman #sampel DNA