Pihak masjid, keluarga remaja dimandikan seperti jenazah berdamai

Bernama
Januari 28, 2022 23:10 MYT
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata setelah berbincang dengan semua pihak yang terlibat, mereka sepakat untuk saling bermaafan dan berdamai. - Foto BERNAMA
SUNGAI BULOH: Kes remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, selesai selepas keluarga remaja itu Daniel Iskandar Mohd Nasir dan pihak pengurusan Masjid Al Islahiah, Kuang di sini memilih untuk berdamai.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata setelah berbincang dengan semua pihak yang terlibat, mereka sepakat untuk saling bermaafan dan berdamai.
"Mereka juga sepakat untuk tidak mengungkit lagi apa yang berlaku sebelum ini," katanya kepada pemberita di Masjid Al Islahiah hari ini.
Pada 17 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang ke atas Daniel Iskandar, 19, serta menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid.
Hakim Datuk Abd Halim Aman, yang menyemak keputusan Mahkamah Majistret, turut menyarankan agar pihak masjid yang merakam dan menularkan video Daniel Iskandar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada remaja itu dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan.
Datuk remaja itu, Rosli Sidek, 65, pula berkata dia bersyukur permasalahan yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan secara baik dan cucunya kini banyak berubah ke arah positif.
"Sebelum ini, Daniel ada meminta maaf dengan saya atas segala tingkah lakunya dan saya telah memaafkannya. Dia masih di bawah umur dan salah memilih kawan.
"Daniel sekarang banyak berubah, dia insaf selepas apa yang berlaku. Saya tabah dan reda dengan segala dugaan Allah," katanya dengan nada sebak.
Wakil Masjid Al Islahiah yang juga Ketua Kampung Damai, Kuang Abdul Ghani Abdullah berkata pihaknya bersyukur perkara itu dapat diselesaikan secara baik.
Turut hadir Timbalan Mufti Selangor Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili remaja itu.
Kisah Daniel Iskandar yang tular di media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikannya seperti jenazah serta dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid, mendapat perhatian umum.
Pada 13 Jan lepas, Daniel Iskandar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan pada 11.58 malam 8 Jan lepas.
-- BERNAMA
#remaja #dimandi seperti jenazah #curi tabung masjid #Daniel Iskandar Mohd Nasir #Masjid Al Islahiah
;