Pihak Dr Zakir Naik belum terima arahan bertulis daripada polis
Norsiah Mohd Ramli
April 11, 2016 01:49 MYT
April 11, 2016 01:49 MYT
Kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan program Dr Zakir Naik di Malaysia masih menunggu jawapan daripada pihak polis samada program ceramah yang dijadualkan berlangsung pada 17 April ini dapat diteruskan.
Pengarah Program Ceramah Dr Zakir Naik 2016, Abu Shariz, berkata status pembatalan atau penangguhan program itu belum dapat ditentukan kerana pihaknya masih belum menerima jawapan bertulis daripada pihak berkuasa.
Jelasnya, pihaknya sudah menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung program ceramah yang akan diadakan di Universiti Teknikal Melaka (UTEM) dan masih menunggu jawapan.
"Kami bukanlah penganjur ceramah di Melaka dan itu hanya kerjasama dan pihak lain, dan setakat ini kami masih belum terima apa-apa arahan bertulis berkaitan penangguhan atau pembatalan mengenainya," katanya pada satu sidang media khas di sini, hari ini.
Tegas Abu Shariz, sekiranya wujud bantahan daripada mana-mana pihak terhadap penceramah dari india ini, mereka disaran mengemukakan surat bantahan terus kepada pihak Dr Zakir Naik.
Bagaimanapun katanya setakat ini tiada surat bantahan dikemukakan.
Sementara itu, pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu catatan di akaun Twitter peribadinya menasihati pihak penganjur membatalkan ceramah Dr Zakir Naik yang akan diadakan di UTEM pada 17 April ini.
Menurutnya lagi, saranan pembatalan dikeluarkan atas faktor demi ketenteraman awam dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Pada sidang media sama, Abu Shariz turut mengumumkan program ceramah di Stadium Hoki Bukit Jalil oleh Dr Zakir Naik yang dijadualkan berlangsung pada 16 April bermula jam 5 petang.
Pihak penganjur menganggarkan 25 ribu bakal hadir bagi mendengar ceramah bertajuk "Is The Quran God's Word."