Pihak dikaitkan dalam laporan berkaitan lesen kasino perlu ambil tindakan - PM Anwar
Bernama
April 26, 2024 18:28 MYT
April 26, 2024 18:28 MYT
SEPANG: Pihak-pihak yang dikaitkan dalam laporan sebuah agensi berita asing baru-baru ini yang mendakwa kerajaan merancang untuk mengeluarkan lesen bagi pengoperasian kasino di Forest City, Johor, perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi berita berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Mereka yang disentuh (dalam laporan itu) perlu mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Muktamar Islam Malaysia Airlines (MAB) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa ditanya sama ada kerajaan akan meminta agensi berita berkenaan menarik balik laporan mereka, atau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita berpangkalan di New York itu.
Semalam Perdana Menteri menafikan laporan berita itu, yang mengatakan bahawa kerajaan sedang menimbangkan untuk mengeluarkan lesen kasino kedua bagi Forest City selepas Genting Highlands, dan Anwar menyifatkan laporan itu sebagai tidak betul, dan bohong.
Agensi berita itu mendakwa pengasas Berjaya Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting Tan Sri Lim Kok Tay sedang berbincang dengan kerajaan berhubung pembukaan sebuah kasino di Forest City, Johor.
Laporan yang memetik satu sumber itu berkata perbincangan mengenai pemberian lesen itu masih di peringkat awal.
Projek Forest City yang terletak di Gelang Patah itu bermula pada 2015, yang sehingga kini ia mempunyai 28,000 unit kediaman yang telah siap dibina, dengan fokus utama pemaju tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 560 hektar.
-- BERNAMA