Pihak berkuasa pantau penggunaan alat penstriman haram di premis perniagaan, restoran

Eton Khir
Februari 24, 2022 22:47 MYT
Pemeriksaan hari ini adalah sebahagian pelaksanaan program kesedaran pencegahan penstriman haram yang merupakan kerjasama pihak berkuasa dan Jabatan Keselamatan Astro. - Foto Astro AWANI
SUBANG JAYA: Beberapa restoran di sekitar daerah ini diperiksa oleh pihak berkuasa termasuk polis dalam satu operasi pemantauan hari ini, setelah dikesan menggunakan alatan penstriman secara tidak sah di premis mereka.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata pemeriksaan itu antara lain bertujuan memupuk kesedaran bahawa penstriman secara haram adalah kesalahan, seterusnya mengelakkan ia terus berleluasa dalam kalangan pengusaha perniagaan.
“Kami menasihatkan pengusaha perniagaan untuk menghentikan penggunaan peranti penstriman yang tidak dibenarkan dan memastikan mereka memperoleh langganan bersesuaian serta menggunakan perkhidmatan hiburan yang sah di premis mereka.
"Penstriman haram adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun ataupun kedua-duanya sekali,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.
Pemeriksaan berkenaan adalah sebahagian pelaksanaan program kesedaran pencegahan penstriman haram yang merupakan kerjasama pihak berkuasa dan Jabatan Keselamatan Astro.
Turut menyertai pemeriksaan itu ialah Ketua Bisnes Perusahaan, Astro Malaysia Holdings Bhd, Kevin Ng.
Sementara itu, Kevin berkata, jenayah cetak rompak telah mengakibatkan kerugian besar terhadap ekonomi negara sekali gus memberi risiko ribuan individu hilang pekerjaan.
“Cetak rompak mampu memberi kesan yang mendalam terhadap kemampuan pihak penyiaran dalam meneruskan perkhidmatan mereka, termasuk untuk peminat-peminat sukan dan perusahaan komersial," katanya.
Pada masa sama Kevin berkata Astro turut bertekad meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa dalam kempen anticetak rompak dan mengalu-ngalukan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi membenteras jenayah berkenaan.
“Kami juga mengalu-alukan kerjasama termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dalam membanteras cetak rompak.
"Kami berharap kerjasama ini mampu berkembang dalam membawa kesedaran dalam kalangan pengusaha atau pemilik tempat-tempat komersial akan kesan-kesan penggunaan kaedah ISD (peranti penstriman haram),” katanya.
Jelasnya lagi, pihak berkepentingan termasuk kerajaan, pengawal selia, penyiar, pemegang hak, pembekal kandungan serta perusahaan komersial perlu bersatu untuk melindungi kandungan hiburan yang sah.
#alatan penstriman haram #polis #Astro #hak cipta
;