Pihak berkuasa mula bersihkan Hutan Lipur Sekayu selepas tular

Bernama
Mac 15, 2017 11:14 MYT
Hutan Lipur Sekayu, khususnya di zon air terjunnya, sering menjadi tumpuan umum dan kerja-kerja pembersihan dibuat secara berkala. - Foto: Facebook/Majlis Daerah Hulu Terengganu
Terkesan dengan tular di media sosial kerana didakwa gagal menjaga dan melakukan kerja-kerja pembersihan di Hutan Lipur Sekayu, beberapa pihak telah tampil memberi penjelasan.
Pegawai Hutan Daerah Hulu Terengganu, Mohd Asri Yussof berkata pihaknya tidak menafikan bahawa ketika suasana di situ dirakam, kawasan tersebut bermasalah namun ia bukanlah sepanjang waktu dalam keadaan sedemikian.
"Kami akui ia adalah kesilapan kerana khidmat kontraktor pembersihan sudah tamat Januari lepas dan buat masa sekarang kita masih dalam proses membuat pertukaran kontraktor dan pertambahan staf pembersihan," katanya ketika ditemui Bernama.
Menurutnya, ada berlaku sedikit kekeliruan dalam pengurusan menyebabkan berlaku sedikit kelewatan dalam pemilihan kontraktor.
Beliau menafikan bahawa bayaran masuk ke hutan lipur tersebut adalah RM8 seorang tetapi hanya RM2 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak.
Asri berkata pihaknya bertanggungjawab mengutip sampah dua kali sehari iaitu pada pukul 1 pagi dan kali kedua pada 4 hingga 5 petang.
"Pada hari kejadian, pihak kami sebenarnya sudah mengumpul sampah untuk tengah hari itu, cuma waktu petang sahaja kita lambat dari waktu yang sepatutnya. Jadi mungkin pada ketika itu pengunjung yang datang terus mengambil gambar berkenaan dan dimuat naik di laman sosial.
"Selain itu juga sikap pengunjung yang suka ambil mudah, mereka lebih senang buang sampah di tong sampah yang berdekatan walaupun tong tersebut melimpah, padahal tong banyak disediakan oleh pihak kita," katanya.
Tambah Asri, sikap sedemikian akhirnya menarik perhatian monyet yang kemudiannya menyelongkar hingga mengakibatkan ia bersepah dengan sampah dan sisa makanan.
Bagi mengelak masalah sama berulang, pihaknya telah mengatur semula jadual kakitangan untuk membersihkan kawasan hitan lipur berkenaan sementara mengisi kekosongan kontraktor.
Bagaimanapun, katanya, tular tersebut tidak menjejaskan kehadiran pengunjung ke destinasi tersebut setiap hari.
Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Terengganu Azmi Razik turut menegaskan bahawa pihaknya sedang mengatur pelbagai strategi untuk membersihkan nama Hutan Lipur Sekayu sebagai salah satu destinasi pelancongan.
"Kami telah aturkan program pembersihan dan akan mengadakan gotong royong Perdana April ini bagi mengindahkan kembali kawasan rekreasi ini di samping memberi semula kepercayaan kepada mereka di luar sana bahawa kawasan ini masih lagi indah, cantik seperti dahulu," katanya.
Seorang pengunjung, Noor Aini Abu Bakar, 57, berkata beliau dan keluarga akan ke Hutan Lipur Sekayu untuk mandi manda.
"Saya selalu datang ke sini kerana suka dengan keindahan kawasan ini...mungkin faktor kawasan ini dekat dengan kediaman dan bayaran yang dikenakan juga berpatutan membuatkan saya sering ke sini," katanya.
-- BERNAMA
#hutan lipur sekayu #kotor #Majlis Daerah #pegawai hutan #pelancongan #pembersihan
;