Pihak berkuasa Indonesia tahan bot nelayan, mungkin dalam perairan Malaysia

Astro Awani
April 19, 2016 14:22 MYT
Wisma Putra menyatakan, berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia dan Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Selangor, tangkapan itu dilakukan di perairan Malaysia. - Gambar hiasan
Wisma Putra tidak menolak kemungkinan penahanan tiga bot nelayan tempatan oleh pihak berkuasa Indonesia berlaku di dalam kawasan perairan negara.
Menurut Wisma Putra, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman secara peribadi terlibat dalam usaha membebaskan nelayan-nelayan terbabit termasuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari negara jiran itu, Retno L.P. Marsudi.
"Selain langkah menyelaras usaha pembebasan melalui pentas diplomatik, Anifah turut mengarahkan Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Hashim, supaya membangkitkan isu penahanan bot serta tangkapan nelayan Malaysia dengan pihak berkaitan di Indonesia," katanya.
Tiga bot nelayan Malaysia yang ditahan baru-baru ini ialah SLFA 4625, PKFB 1512 dan KHF 1917.
Tambah Wisma Putra, berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia dan Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Selangor, tangkapan itu dilakukan di perairan Malaysia.
Ia dilihat tidak konsisten dengan persetujuan sedia ada yang dicapai antara kedua-dua negara berhubung isu berkaitan hal ehwal perikanan.
"Justeru, Kementerian Luar sudah menyelaras kerjasama semua pihak berkaitan bagi berusaha secara berterusan untuk menangani isu ini sehingga semua bot dan anak kapal yang ditahan dibebaskan," kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, Konsul Malaysia di Pekanbaru juga sudah ke Batam, Indonesia bagi melakukan Lawatan Konsular untuk memeriksa kebajikan kapten, anak kapal dan bot yang ditahan.
Kementerian Luar juga turut berkongsi rasa bimbang ahli-ahli keluarga nelayan serta pemilik bot yang terlibat.
"Wisma Putra memberi jaminan akan mengambil segala langkah perlu bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan pihak berkuasa Indonesia," ujarnya.
#Indonesia #Kementerian Luar #Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan
;