Pihak berkuasa diminta pantau harga pelitup separuh muka - MGCC

Bernama
Julai 23, 2020 20:06 MYT
MGCC meminta pihak berkuasa memantau penjualan pelitup separuh muka selepas 15 Ogos ini bagi memastikan pemborong dan peniaga tidak mengenakan harga lebih tinggi. Foto: Bernama
Dewan Perniagaan Malaysia Global (MGCC) meminta pihak berkuasa memantau penjualan pelitup separuh muka selepas 15 Ogos ini bagi memastikan pemborong dan peniaga tidak mengenakan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan.
Presidennya Datuk Seri Dr Alex Ong berkata harga pelitup separuh muka di peringkat borong yang akan diturunkan dari RM1.45 kepada RM1.15, manakala harga runcit dari RM1.50 kepada RM1.20 seunit adalah amat berpatutan.
"Masyarakat yang terkesan susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara pastinya menarik nafas lega apabila harga pelitup separuh muka diturunkan harga.
"Kita merasakan kerajaan mengambil pendekatan yang tepat bagi meringankan beban rakyat apabila perlu membeli pelitup separuh muka untuk kegunaan di tempat kerja mahupun bagi kegunaan anak-anak ke sekolah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam memaklumkan harga pelitup separuh muka itu.
BACA: Harga pelitup muka turun 30 sen mulai 15 Ogos
Penurunan harga itu, kata beliau, selaras dengan langkah kerajaan untuk menimbangkan keperluan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam seperti yang disaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula pada Khamis berkata pemakaian pelitup separ uh muka akan diwajibkan dalam pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak bermula 1 Ogos ini.
-- BERNAMA
#Dewan Perniagaan Malaysia Global #MGCC #pelitup muka #pemborong #peniaga