Pihak berkuasa digesa halang kegiatan khurafat raja bomoh dengan segera

Irwan Muhammad Zain
Februari 15, 2015 17:32 MYT
ZAMIHAN: Kegagalan pihak berkuasa Agama punca raja bomoh terus promosi perkara khurafat.
Individu yang menggelar dirinya 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin bebas mempromosi amalan khurafat kerana kegagalan pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap apa yang dilakukan.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mohd Zain berkata sepatutnya sudah lama pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap Ibrahim yang melakukan perkara-perkara khurafat.
"Bila tidak ada sebarang siasatan dan tindakan diambil maka raja bomoh ini terus mempromosikan diri dan amalan khurafatnya secara berleluasa.
"Raja bomoh ini berani mempromosikan amalan-amalan khurafat ini mungkin kerana ada VVIP dibelakangnya, yang percaya dengan perkara-perkara yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Katanya, Ibrahim sehingga hari ini tidak dapat membuktikan secara spiritual dakwaan bahawa terdapat pihak yang cuba menggunakan ilmu hitam terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, sepatutnya perkara tersebut dibuktikan mengikut kaedah-kaedah Islam bukan menerusi amalan khurafat yang jelas terpesong dari ajaran dan roh Islam.
"Ibrahim ini menuduh pihak lain melakukan khurafat, konon guna ilmu hitam terhadap Anwar tetapi sebenarnya dia yang lakukan khurafat.
"Apa yang dilakukan di luar penjara Sungai Buloh, guna kayu golf itu semua, jelas satu kesalahan yang bercanggah dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya lagi.
Sebelum ini, pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah menggesa pihak berkuasa agama supaya segera menangkap Ibrahim yang mencetus kontroversi di luar penjara Sungai Buloh.
"Jalankan tugas seperti yang dibuat kepada Ayah Pin atau Tuhan Haron, ia akan menutup kelemahan dan kepincangan agensi penguatkuasa agama yang mungkin diperkatakan masyarakat kerana lambat menahan Ibrahim.
"Kita ada 14 mufti dan semuanya harus sepakat untuk mengeluarkan arahan penangkapan Ibrahim seharusnya selepas menggemparkan negara kerana ritual mencari MH370 dahulu," tegasnya.
Ia berikutan satu rakaman video yang disebarkan di laman sosial yang menunjukkan Ibrahim melakukan beberapa upacara, termasuk bermain golf di ruang letak kereta di luar pagar kompleks Penjara Sungai Buloh.
Rakaman berdurasi hampir tiga minit setengah itu menunjukkan Ibrahim menggunakan 'teropong sakti'nya selain mengetuk dua biji kelapa.
Ia dikatakan ritual untuk memberi perlindungan kepada Anwar daripada serangan sihir dan hantu raya yang ingin membunuhnya di dalam penjara.
Katanya lagi, Jabatan Agama Islam juga diharap dapat segera menangkap Ibrahim seperti beberapa kes syirik agama sebelum ini.
#Aswaja #ibrahim mat zin #Raja Bomoh #zamihan mohd zain
;