Pihak berkepentingan maritim diminta kemuka cadangan lonjak daya saing sektor itu

Bernama
Julai 30, 2024 23:49 MYT
LOKE: Kita mahu MOF memudahkan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam industri perkapalan tempatan kerana ini penting untuk ekonomi serta keselamatan negara kita. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan meminta peserta industri perkapalan dan pihak berkepentingan maritim tampil mengemukakan idea dan cadangan untuk melonjakkan daya saing Malaysia dalam sektor itu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya akan mengumpulkan semua idea dan cadangan itu sebelum mengetengahkannya kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada Oktober.
"Kita mahu MOF memudahkan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam industri perkapalan tempatan kerana ini penting untuk ekonomi serta keselamatan negara kita," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2024 di sini, pada Selasa.
Beliau yakin kerjasama antara kerajaan dan industri penting untuk menetapkan dasar yang memenuhi keperluan industri dan mengorak jalan untuk masa depan yang lebih baik.
"Usaha ini bermula dengan kerajaan memberikan perhatian yang sepatutnya kepada industri. Saya yakin dengan dasar yang kondusif, perniagaan maritim Malaysia sekali lagi boleh bersaing di peringkat tertinggi," katanya.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan MMW 2024 yang mengangkat tema Navigating the Future: Safety First (Mengemudi Masa Depan: Keselamatan Diutamakan).
MMW 2024 yang berlangsung selama tiga hari turut meraikan ulang tahun ke-50 Konvensyen Antarabangsa bagi Keselamatan Nyawa di Laut (SOLAS) 1974, dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-40 ratifikasi konvensyen itu tahun ini.
-- BERNAMA
#pelaburan #pihak berkepentingan maritim #Kementerian Pengangkutan #Anthony Loke
;