Pidato Kenegaraan ketengah konsep 'TED Talk', pujuk dan salur mesej kepada khalayak sasaran
Bernama
September 3, 2021 04:29 MYT
September 3, 2021 04:29 MYT
PUTRAJAYA: Konsep penyampaian secara 'TED Talk' (teknologi, hiburan dan reka bentuk) diketengahkan pada format pertandingan akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021 sebagai suatu pendekatan baharu untuk memujuk dan menyampaikan mesej kepada kumpulan khalayak sasaran.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata konsep itu popular dalam kalangan pemikir dan cendekiawan dari negara maju dalam menyampaikan maklumat dan mesej kepada penonton secara santai menggunakan elemen teknologi, hiburan dan rekaan.
Beliau berkata kaedah berpidato secara konvensional yang menyaksikan seorang pemidato berhujah manakala orang lain sekadar mendengar tidak lagi menjadi pendekatan yang menarik perhatian atau berkesan dalam kalangan masyarakat.
Justeru katanya ia menuntut kesediaan untuk mengadaptasi, mengasimilasi dan menyeragamkan perkembangan pesat teknologi tersebut mengikut kepentingan semasa terutama ketika dunia dilanda wabak COVID-19.
"Saya ingin titipkan ucapan tahniah dan syabas kepada Jabatan Penerangan (JaPen) kerana berjaya menganjurkan pertandingan pidato dalam dimensi baharu sejajar perkembangan era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) sebagai pencetus serta pemacu kepada kemajuan negara," katanya selepas merasmikan pertandingan akhir Pidato Kenegaraan yang berlangsung secara dalam talian pada Jumaat.
Mohammad berkata penggabungan media interaktif dalam persembahan TED Talk berupaya menarik kumpulan sasaran untuk mendengar dan terus mengikuti idea yang dipersembahkan kerana perkembangan pesat teknologi telah mengubah cara berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain begitu juga dengan cara berpidato.
Seiring kemajuan teknologi komunikasi kini, beliau mencadangkan pertandingan pidato seterusnya nanti dapat membuka peluang kepada peserta-peserta dari luar negara untuk menyertainya dan ia dapat direalisasikan pada masa hadapan.
Beliau berkata menjadi harapan KKMM agar dengan penganjuran aktiviti pidato ini, peserta dapat menghayati serta membudayakan apa jua dasar, falsafah dan wawasan negara dalam diri mereka dan berupaya menyampaikannya kepada orang ramai dengan tepat dan mudah difahami.
Mohammad berkata beliau berharap pertandingan ini mencapai objektif iaitu meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman tentang dasar-dasar negara, memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan, menyubur dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia dan menzahirkan rasa terima kasih dalam kalangan rakyat mengenai kemajuan dan kemakmuran negara yang dinikmati masa kini.
Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 yang dianjurkan kali kedua tahun ini oleh JaPen dengan tema "Kita Malaysia Bangkit Bersama" telah berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Mei lepas di peringkat negeri dan dilaksanakan secara hibrid menerusi penghantaran video.
Pertandingan akhir Pidato Kenegaraan peringkat Kebangsaan 2021 mengetengahkan enam peserta. Pemidato Muhd Nazmie Muhd Nasir dari Kuala Lumpur dengan tajuk pidato "Dasar Perpaduan Negara Membangun Identiti Nasional" dinobatkan juara dengan membawa pulang wang tunai RM3,000, plak dan sijil.
Tempat kedua dimenangi Mohd Amiruddin Md Nor dari Melaka dengan tajuk pidato "Rukun Negara Teras Identiti Nasional" membawa pulang wang tunai RM2,000, plak dan sijil manakala tempat ketiga dimenangi Ainun Nasibah Johar dari Sabah dengan tajuk "Bercakap Benar: Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Berbohong" membawa pulang wang tunai RM1,000, plak dan sijil.
-- BERNAMA