KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan vaksin CoronaVac terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bermula esok (7 Mac).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, vaksin kedua bagi program PICKids itu diluluskan secara bersyarat oleh Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang ke-370 pada 3 Mac lalu.

"Terkini, Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang ke 370 pada 3 Mac yang lalu telah memberi kelulusan bersyarat penggunaan CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd (Malaysia), untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun.

"Ini menjadikan CoronaVac sebagai vaksin kedua yang diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun," jelasnya.

Tambah Dr Noor Azmi, pemberian vaksin CoronaVac itu ditawarkan kepada kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty atas sebab kesihatan.

Malah ibu-bapa jelasnya juga diberi pilihan sama ada ingin mendapatkan suntikan vaksin CoronaVac ataupun Corminaty dari Pfizer.

"Sehubungan dengan itu, kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty atas sebab kesihatan akan ditawarkan vaksin CoronaVac oleh petugas kesihatan.

"Selain itu, ibu-bapa juga diberi pilihan untuk memberikan vaksin CoronaVac kepada anak mereka
sekiranya mereka tidak bersetuju untuk menggunakan vaksin Comirnaty," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut tambah Dr Noor Azmi, vaksin CoronaVac itu hanya boleh diberi kepada kanak-kanak yang mencapai usia 5 tahun pada tarikh lahir.

"Bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, 2 dos vaksin CoronaVac dengan selang masa 4 minggu
perlu diberikan kepada kanak- kanak berumur 5-11 tahun.

"Mulai 7 Mac 2022, Kementerian Kesihatan akan mula menawarkan vaksin CoronaVac di Pusat Pemberian Vaksin yang terpilih," katanya lagi.

Dalam pada itu, ibu-bapa boleh menyemak senarai nama serta waktu operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menawarkan vaksin CoronaVac secara walk-in di laman web Kementerian Kesihatan dan PHCorp yang telah diumumkan sebelum ini.

Ibu-bapa ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut ujarnya boleh berhubung dengan petugas kesihatan.

"Sukacita dimaklumkan penawaran vaksin CoronaVac di PPV yang dikendalikan oleh KKM dan PHCorp di bawah PICKids adalah percuma.

"Selain dari program PICKids, terdapat juga klinik dan hospital swasta yang menawarkan vaksin CoronaVac kepada kanak-kanak 5 hingga 11 tahun dengan bayaran," jelasnya lagi.

Berdasarkan data dikeluarkan dalam COVIDNOW sehingga 5 Mac, seramai 123,053 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah telah dijangkiti COVID-19.